Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata negara boleh melakukan penjimatan sehingga RM10 bilion daripada kebocoran yang berlaku dalam sistem perolehan kerajaan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kebocoran boleh dihentikan sekiranya amalan rasuah dibanteras di semua peringkat termasuk mengubah cara lama iaitu tanpa campur tangan politik atau kepentingan peniaga besar dalam perolehan kerajaan.
“Kita mengalami kebocoran yang tinggi. Belum dua bulan (saya) di Kementerian Kewangan sudah kenal pasti RM3 bilion hingga RM4 bilion yang boleh diselamatkan,” katanya ketika berucap pada majlis Dialog Belanjawan 2023 bertema ‘Membangun Malaysia Madani’ di sini hari ini.
Turut hadir ialah dua Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim Chee Keong, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.
Anwar berkata daripada pengalamannya, ketirisan dapat dikurangkan sekiranya hal-hal perolehan diserahkan kepada pihak yang berupaya dalam isu seperti banjir atau pembelian senjata.
“Biarkan urusan (perolehan) untuk tentera udara, laut dan darat dipertanggungjawabkan mengusulkan jenis barangan terbaik, dan runding antara kerajaan tanpa campur tangan dari politik atau kepentingan peniaga,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata pendekatan dalam Bajet 2023 seharusnya adalah untuk memulihkan keyakinan pelabur domestik dan luar negara serta mempercepatkan kelulusan pelaburan.
Memberikan contoh satu usul untuk memperkenalkan ladang organik oleh sebuah syarikat yang mengambil masa dua tahun mendapat kelulusan, Anwar berkata perkara seperti itu perlu dihentikan kerana ekonomi hijau merupakan keutamaan untuk kemampanan ekonomi.
“Keupayaan memberi kelulusan harus lebih pantas dan ketua-ketua jabatan dipertanggungjawabkan sepenuhnya sekiranya berlaku kelewatan dan berdepan tindakan kerana menjejaskan ekonomi negara,” katanya.
Semakan semula Bajet 2023 akan dibentangkan pada 24 Feb ini di Dewan Rakyat.
Sumber : Malaysia Kini
ARTIKEL LAIN YANG MENARIK UNTUK DIBACA
Ada Bekas PM, Bekas Menteri Kewangan Punggah Kekayaan Berbilion – Anwar
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan akan menamatkan amalan rasuah yang didakwanya menggunakan kepimpinan politik dan kedudukan dalam kerajaan sebagai “kesempatan untuk memunggah kekayaan.”
Walaupun Anwar tidak menyentuh secara langsung pentadbiran atau nama orang yang dimaksudkannya namun dia menyebut pihak itu sebagai “pernah menjadi menteri kewangan” dan “bekas perdana menteri.”
Kata Anwar, ini sebagai maklum balas terhadap “serangan” yang mengatakan seolah-olah pimpinan dalam kerajaan hari ini terpalit dalam hal-hal yang sedemikian.
“Saya nak sebut bahawa sikap kita jelas negara ini negara hukum, badan penguatkuasaan diberi kuasa sepenuhnya untuk memantau,” katanya ketika memberi amanat khas pada majlis munajat ambang tahun baru 2023 di Masjid Putra di Putrajaya malam Sabtu.
Anwar berkata pentadbirannya akan meneruskan budaya kesederhanaan, jangan ada pembaziran, memantau semua GLC dan perbelanjaannya.
“Tetapi saya nak nasihat juga rakan-rakan saya yang lain, yang bercakap soal bersih dan hari-hari, saban hari menyerang beberapa tokoh dalam kerajaan perpaduan.
“Apatah lagi orang-orang yang pernah menjadi menteri kewangan, perdana menteri yang tatkala mereka berkuasa itu bukan dipungahnya ratusan juta ringgit, bilion ringgit dipunggah.
“Jadi saya nak nasihatkan bahawa kerajaan ini akan pastikan sekurang-kurangnya sebahagian daripada dana yang dipunggah itu dipulangkan semula kepada rakyat. Ini bukan kecil jumlahnya,” kata Anwar tanpa memperincikan dakwaannya.
Untuk rekod, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berdepan perbicaraan atas pertuduhan jenayah pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Yayasan Akalbudi.
“Tapi kalau berterusan tentunya saya akan ambil tindakan,” tegasnya.
Perdana menteri berkata negara akan selamat, terangkat martabat serta harkatnya jika semua pihak mempunyai tekad untuk menghentikan amalan salah guna kuasa dan rasuah.
“Maka badan penguatkuasaan harus juga memikirkan bagaimana helah dan cara supaya jangan rakyat miskin tapi terpukau dengan janji dan slogan kononnya bersih, padahal diselaput dengan ratusan juta kekayaan yang dipunggah daripada mereka.
“Saya sebut hal ini, bahawa ni adalah tugas bersama.
“Ini bukan soal politik kepartian, ini tugas umat rakyat Malaysia kalau nak jamin negara ini selamat,” katanya.
Bagaimanapun, mahkamah tinggi telah membebaskan Zahid daripada satu lagi perbicaraan melibatkan 33 pertuduhan kes rasuah sistem visa asing (VLN).
Pemimpin Perikatan Nasional (PN) antara yang lantang mengkritik pentadbiran Anwar.
Perdana menteri juga mengulas apabila ada yang mengatakan kepadanya bahawa perkara “yang lalu biar berlalu.”
“Saudara kalau ada kesan peribadi kepada saya, saya boleh maafkan, malah saya telah maafkan.
Sumber : KMN