Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui sidang media sebentar tadi memaklumkan bahawa tarikh mengundi Pilihan Raya Umum (PRU15) ditetapkan pada Sabtu, 19 November 2022 ini.
Sementara itu, SPR turut menetapkan tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November 2022 yang jatuh pada hari Sabtu. Bagi pengundian awal pula, ditetapkan pada 15 November 2022 iaitu hari Selasa.
SPR mengadakan mesyuarat khas hari ini untuk menentukan tarikh pengundian dan pencalonan bagi PRU15 selepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat pada 10 Oktober lepas.
Pembubaran Dewan Rakyat dibuat selepas mendapat perkenan daripada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 10 Oktober lepas.
Tiga negeri iaitu Perlis, Pahang dan Perak dibawah Barisan Nasional (BN) turut mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) dapat diadakan serentak dengan PRU15.
Manakala tiga buah negeri dibawah Pakatan Harapan (Negeri Sembilan, Pulau Pinang & Selangor) dan tiga buah negeri dibawah PAS (Kedah, Terengganu & Kelantan) tidak membubarkan DUN masing-masing.
Empat lagi negeri iaitu Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak tidak perlu membubarkan DUN masing-masing kerana baru sahaja melaksanakan PRN. Sabah melaksanakan PRN pada September 2020, Melaka dan Sarawak pada November serta Disember 2021 manakala Johor mengadakan PRN pada Mac lalu.
Sumber : SK