‘Saya Tahu Rakyat Marah…’ Ismail Sabri Beri Penjelasan Mengenai Pelaksanaan PKP Yang Berlaku Di KL Dan Selangor | Sebelum ini Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan bahawa beberapa wilayah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta beberapa daerah dan mukim di Terengganu, Johor dan Perak diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 7 hingga 20 Mei.

'Saya Tahu Rakyat Marah...' Ismail Sabri Beri Penjelasan Mengenai Pelaksanaan PKP Yang Berlaku Di KL Dan Selangor

Hal ini ternyata telah menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia dan menurut Ismail Sabri dia sendiri sedia maklum akan hal itu namun ia menegaskan tujuan utamanya ketika ini adalah untuk memastikan keselamatan rakyat di negara ini.

“Saya tahu rakyat marah (PKP) tetapi tujuan kita untuk menyelamatkan nyawa mereka,” katanya dalam satu kenyataan selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama pelajar Sekolah Tahfiz dan Asrama Anak Yatim Angkatan Tentera Malaysia (STAY ATM) di Kem Perdana Sungai Besi di sini, semalam.

Beliau juga turut menangkis dakwaan yang dilemparkan kepada kerajaan selepas mengumumkan PKP itu menjelang perayaan Aidilfitri pada minggu depan.

Menurutnya, keputusan dibuat kerajaan berdasarkan sistem amaran awal iaitu ‘Hotspots Identification for Dynamic Engagement’ (HIDE) yang dibangunkan Bank Negara Malaysia (BNM) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpandukan MySejahtera.

Katanya, rakyat perlu memahami bahawa kerajaan tiada niat untuk menyusahkan rakyat.

Beliau juga tidak mahu Malaysia menjadi seperti negara India selepas beberapa pemimpin negara itu mengisytiharkan menang dalam peperangan menentang Covid-19 dan mula memberikan kebebasan sehingga berlaku penularan Covid-19 yang tidak lagi dapat dikawal oleh kerajaan.

Beliau turut mengambil contoh perkembangan Covid-19 di Kelantan yang berlaku peningkatan mendadak hingga hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU) sudah penuh sehingga negeri itu terpaksa membuka hospital sementara kerana katil hospital sedia ada tidak mencukupi.

“Perkara ini tidak mustahil berlaku di Kuala Lumpur dan Selangor berdasarkan peningkatan kes yang mendadak,” katanya.

Ismail Sabri berkata, pihaknya dimaklumkan melalui pembentangan KKM tidak mustahil selepas Aidilfitri kes boleh meningkat kepada 5,000 sehari jika masih gagal mengekang pandemik tersebut.

“Jika jadi 10,000 kes, kita mungkin jadi macam India dan kerajaan tidak mahu melihat rakyat mati bergelimpangan seperti di negara itu.

“Disebabkan itu, intervensi perlu dilakukan dengan segera dan saya harap rakyat faham tindakan dilakukan untuk melindungi nyawa mereka,” katanya.

Tegasnya, beliau tidak mahu menjadi kerajaan tidak bertanggungjawab jika keadaan itu berlaku dan atas sebab sayangkan rakyat, PKP adalah jalan terbaik diputuskan kerajaan.

Sumber: Metro, Astro Awani

Share.

Leave A Reply