Pilu! Beri Bantuan Pernafasan Keatas Mayat Ibu Akibat Covid-19 | Covid-19 telah banyak meragut nyawa-nyawa yang tidak bersalah di dunia dan ramai juga yang telah menjadi mangsa akibat dijangkiti wabak berbahaya ini. India menjadi antara negara yang telah terjejas teruk akibat pandemik tersebut selepas tular satu gambar di media sosial mengenai kisah seorang anak yang memberi bantuan pernafasan (CPR) kepada ibunya yang dijangkiti Covid-19 di New Delhi, baru-baru ini.
Kisah pilu tersebut dikatakan berlaku di sebuah hospital berdekatan Uttar Pradesh apabila dilihat seorang wanita memberikan bantuan pernafasan kepada ibunya yang dikatakan sudah tidak bernyawa lagi. Wanita tersebut dilaporkan melakukannya bagi melakukan iktiar selepas hospital terbabit tidak dapat membekalkan mesin oksigen kepadanya.
Menurut kakitangan Perubatan Kecemasan Ahtisam Ali menerusi agensi, pesakit tersebut telah dibawa dalam keadaan sesak nafas sebelum dia dilaporkan meninggal dunia di atas katil ketika belum sempat menerima rawatan. Tambahnya, ketika pasukan doktor datang untuk memberikan bantuan, ia sudah terlambat kerana pesakit tersebut didapati telah meninggal dunia.
Wanita dipercayai anak kepada pesakit tersebut dilihat sempat memberikan bantuan pernafasan mulut ke mulut kepada ibunya kerana dia sangat bimbang akan keadaannya pada masa itu.
Krisis kesihatan yang melanda India dilihat semakin meruncing selepas negara tersebut mencatatkan bilangan kes sebanyak 20.6 juta kes serta merekodkan 226,188 kematian.
Hospital-hospital di India juga dikatakan tidak mampu menampung pesakit selepas mereka dilaporkan telah kekurangan alat bantuan oksigen, ambulans serta ramai pesakit maut tanpa sempat mendapat rawatan di hospital.
Sumber: Metro