Selang 15 Minit, Seorang Ibu Lahirkan Bayi Kembar Pada Tahun 2021 & 2022 | LOS ANGELES: Bayi kembar dilahirkan 15 minit di California mempunyai hari lahir yang berbeza – seorang pada 2021 dan pasangannya pula pada 2022.
Alfredo Antonio Trujillo lahir pada jam 11.45 malam pada malam Tahun Baru di bandar Salinas.
15 minit kemudian, adiknya, Aylin Yolanda Trujillo dilahirkan pada Hari Tahun Baharu.
Pusat Perubatan Natividad, tempat bayi kembar itu dilahirkan, berkata dalam satu kenyataan minggu lalu bahawa ia adalah satu dalam dua juta peluang anak kembar dilahirkan dalam tahun yang berbeza.
“Sukar dibayangkan bagi saya bahawa mereka adalah kembar dan mempunyai hari lahir yang berbeza,” ibu bayi itu, Fatima Madrigal, dipetik sebagai berkata dalam kenyataan itu.
Dr Ana Abril Arias menyifatkan kelahiran itu sebagai “satu daripada kelahiran yang paling diingati dalam kerjaya saya.”
“Adalah suatu keseronokan untuk membantu anak-anak kecil ini tiba di sini dengan selamat pada 2021 dan 2022,” katanya.
Alfredo dilahirkan dengan berat 2.75 kilogram manakala adiknya, Aylin, pula 2.66 kilogram.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat berkata, kira-kira 120,000 bayi kembar dilahirkan setiap tahun di negara itu, mewakili kira-kira tiga peratus kelahiran. – AFP
Sumber: Berita Harian