Selepas Dua Jam Menghadap Agong. Ini Respon YB Azmin Ali.|Kumpulan 11 bekas Ahli Parlimen PKR yang diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meninggalkan Istana Negara kira-kira jam 3 petang, hari ini.
Ia sekali gus menjadikan kumpulannya yang masuk menghadap kira-kira jam 1.08 tengah hari tadi, antara yang paling lama bertemu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dengan tempoh pertemuan hampir dua jam.
Beliau yang memandu kereta Toyota Vellfire berwarna hitam, keluar diiringi 10 lagi kenderaan lain, dipercayai bersama 10 lagi Ahli Parlimen yang juga bekas ahli PKR.
Turut kelihatan di sebelahnya adalah Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah. Ketika diminta mengulas pertemuan itu, Mohamed Azmin menyifatkannya sebagai satu pertemuan yang baik.
“Alhamdulillah,” katanya ringkas kepada BH, sambil perlahan-lahan memandu keretanya.
Berhubung laporan portal FMT bahawa dirinya bersama 10 bekas Ahli Parlimen PKR akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Mohamed hanya tersenyum dan mahu menunggu proses pemilihan Perdana Menteri selesai terlebih dahulu.
“Yang penting kita selesaikan proses ini dahulu. Terserah pada Yang di-Pertuan Agong (tempoh selesai). Tapi kita amat bersyukur kerana proses berjalan baik dan lancar mengikut Perlembagaan,” katanya.
Sumber : Berita Harian