Kegembiraan ibu bapa menyambut kelahiran anak kedua selepas kehilangan anak pertama bertukar suram apabila bayi mereka disahkan menghidap penyakit jantung.

Bagaimanapun, Che Muhammad Azri Che Noordin, 26, dan Syafiqah Walmasri, 23, tetap mengharapkan anak kesayangan mereka, Che Nur Ayesha Inara pulih dan membesar dengan sihat.

Che Nur Ayesha Inara berusia tiga bulan menghidap ‘transposition Great arteries’ (TGA) atau injap jantung terbalik dan perlu menjalani pembedahan di Hospital Gleneagles, dengan anggaran kos RM120,000.

Syafiqah berkata, dia dan suami gembira apabila disahkan mengandung anak kedua selepas anak sulung meninggal dunia kerana kelahiran pramatang.

Katanya, Che Nur Ayesha Inara dilahirkan secara normal pada usia kandungan 38 minggu.

“Selepas dilahirkan, Inara alami jaundis (kuning) dan kami kerap berulang-alik ke Hospital Banting untuk pemeriksaan susulan.

“Pada usianya dua bulan setengah, tangan dan kuku Inara tiba-tiba kebiruan dan semasa pemeriksaan di hospital, doktor mendapati kandungan oksigennya berkurangan.

“Inara segera dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan lanjut dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama dua hari sebelum dirujuk ke Hospital Gleaneagles,” katanya kepada Harian Metro.

Syafiqah berkata, doktor mengesahkan saluran jantung Inara terbalik dan memerlukan pembedahan segera.

Menurutnya, dia yang tidak bekerja, manakala suaminya bekerja sebagai juruteknik kilang dengan pendapatan RM3,000 sebulan. Tetapi dia tidak mampu untuk menampung kos pembedahan anak mereka.

“Saya amat mengharapkan bantuan daripada orang ramai untuk menyumbang. Saya berharap Inara boleh dibedah seterusnya dapat meneruskan hidup seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Media Prima-NSTP Humanitarian Fund (Maybank 514105323170) atau melalui cek disertai nama pesakit yang boleh dihantar ke Jabatan Komunikasi Korporat Media Prima Berhad, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur atau hubungi talian 03-27248955 untuk sebarang pengesahan.

Penyumbang Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP turut layak mendapat pelepasan cukai.

Sumber: Harian Metro

 

Baca Juga: Seorang Wanita Maut 6 Cedera Termasu Bayi Lelaki Kembar

Seorang wanita maut, selepas kereta yang dinaiki bersama enam ahli keluarganya merempuh belakang sebuah treler berhampiran kawasan rehat dan rawat (RnR) Restoran Jejantas Sungai Buloh, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), di sini, pada Isnin.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, seramai lapan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 6.10 pagi.

“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Honda Accord yang dinaiki tujuh sekeluarga telah melanggar bahagian belakang sebuah treler,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Norazam berkata, kemalangan itu mengakibatkan seorang wanita berusia 38 tahun tersepit di tempat duduk penumpang hadapan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Suami mangsa berusia 50 tahun dan anak perempuan mereka berusia 11 tahun dilaporkan parah, manakala empat lagi anak mereka termasuk bayi lelaki kembar berusia antara lapan tahun hingga lapan bulan dilaporkan cedera dalam kemalangan tersebut.

“Kesemua mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sumber: KMN

 

 

Share.

Leave A Reply