Seorang Ibu Maut Dan 4 Orang Anaknya Cedera Semasa Dlm Perjalanan Ke Sekolah | Kluang: Seorang ibu yang dalam perjalanan menghantar empat anaknya ke sekolah maut selepas Perodua Viva dipandunya terbabit kemalangan jalan raya di Kilometer 77, Jalan Johor Bahru – Air Hitam, pagi tadi.
Mangsa Parah Di Dada Dan Kaki
Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, mangsa dikenali sebagai Nor Hayati, 45 , yang juga seorang suri rumah maut akibat parah di dada dan kaki dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu.
Katanya, manakala anaknya, Muhammad Asyraff Putra, 6, yang duduk di tempat duduk hadapan dan Muhammad Azzam Putra, 8, di tempat duduk belakang, parah dan dirawat di Zon Merah Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.
“Siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa dari Simpang Renggam menghala Air Hitam bertembung dengan Perodua Axia yang hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.
Kereta Berpusing Dan Langgar Lori
“Perodua Axia kemudian berpusing dan masuk semula ke laluannya dan berlanggar dengan lori Nissan.
“Pelanggaran itu menyebabkan pemandu Perodua Viva meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua anaknya, Muhammad Asyraff Putra mengalami pendarahan dalam kepala, perut dan patah tangan kiri manakala abangnya, Muhammad Azzam Putra, disyaki alami pendarahan dalam kepala dan patah peha kiri,” katanya ketika dihubungi.
Bahrin berkata, dua lagi anak Nor Hayati, Putri Ainnur Umairah, 9, cedera di kaki kiri manakala Muhammad Airell Putra, 16, cedera di kepala, kaki kiri dan menerima rawatan di Klinik Kesihatan Simpang Renggam.
Katanya, pemandu dan penumpang Perodua Axia turut cedera dan menerima rawatan di sebuah hospital swasta di sini.
“Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sumber : HM
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Seorang Wanita Maut Dan 14 Orang Cedera Dalam Nahas Tiga Kenderaan
Seorang Wanita Maut Dan 14 Orang Cedera Dalam Nahas Tiga Kenderaan | Mersing: Seorang wanita maut manakala 14 lagi cedera dalam nahas jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 14, Jalan Jemaluang di sini, awal pagi tadi.
Kereta Hilang Kawalan
Ketua Polis Daerah Mersing Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, mangsa wanita yang maut adalah warga Thailand dikenali sebagai Steenurhalisa Useng, 22, akibat cedera parah di muka.
Katanya, kemalangan kira-kira 3 pagi itu dipercayai berpunca sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) BMW X5 dipandu seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun tempatan hilang kawalan sewaktu melalui jalan berselekoh lalu memasuki laluan bertentangan.
“BMW X5 berkenaan bertembung dengan Perodua Myvi dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Mitsubishi Grandis dari arah Johor Bharu.
“Pertembungan itu menyebabkan seorang penumpang Mitsubishi Grandis meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi penumpang MPV itu iaitu lelaki warga tempatan patah tangan,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, 14 yang cedera ialah pemandu dan dua penumpang lelaki BMW X5 berusia 30-an serta tiga lelaki dan dua kanak-kanak perempuan yang menaiki Perodua Myvi.
Turut cedera empat lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan yang menaiki Mitsubishi Grandis.
Mangsa Meninggal Dunia Di Tempat Kemalangan
Abdul Razak berkata, pemandu BMW X5 telah dirakamkan keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis manakala hasil ujian air kencing adalah negatif pengaruh dadah atau alkohol.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Pegawai Bomba Kanan II Anuar Hussine berkata, pasukan keluaran operasi (PKO) bertindak mengeluarkan mangsa yang meninggal dengan menggunakan peralatan khas.
“Terdapat 15 mangsa yang terdiri daripada 10 lelaki dewasa, dua perempuan dewasa dan tiga kanak-kanak perempuan.
“Wanita warga asing berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas kesihatan yang tiba di lokasi kejadian.
“Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Mersing dengan ambulans manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Katanya, sebuah jentera LFRT dari BBP Mersing dengan kekuatan tujuh anggota dihantar ke tempat kejadian dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 4.35 pagi.
Sumber : HM