Seorang Kanak² Usia 8 Tahun Tembak Bayi Hingga Mati. | WASHINGTON: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun menembak mati seorang bayi dan mencederakan adik perempuannya ketika bermain dengan pistol bapanya di Florida.
Bapa kanak-kanak itu, Roderick Randall, 45, ditahan dan didakwa atas tuduhan cuai, bersalah memiliki senjata api yang menyalahi undang-undang serta menyembunyikan bukti, kata Syerif Daerah, Escambia Chip Simmons.
Tragedi itu berlaku di sebuah motel di mana Randall yang mempunyai rekod jenayah yang melarangnya daripada memiliki senjata api bertemu dengan teman wanitanya.
Randall membawa anaknya, manakala teman wanitanya membawa dua anak perempuannya berusia dua tahun dan setahun.
“Pada satu ketika, lelaki itu keluar dan meninggalkan senjata api miliknya di dalam almari.
“Mengetahui di mana ia tersembunyi, anak Randall kemudiannya mengeluarkannya dan mula bermain dengan senjata itu ketika ibu kanak-kanak perempuan berkenaan sedang tidur.
“Dia menarik pistol di sarung, mula bermain dengannya dan melepaskan tembakan ke arah kanak-kanak kecil berusia setahun yang membunuhnya. Peluru itu kemudiannya mengenai kanak-kanak berusia dua tahun dan menyebabkan kecederaan,” kata Escambia dalam sidang media.
Apabila Randall pulang, dia mengambil pistol dan bahan tidak dikenal pasti dipercayai dadah keluar dari bilik berkenaan sebelum polis tiba.
“Setiap tahun, beratus-ratus kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS) mendapat akses kepada senjata tidak selamat, diletakkan di dalam almari dan laci meja, dalam beg galas atau hanya ditinggalkan, menurut laporan oleh organisasi Everytown For Gun Safety.
Secara umumnya, senjata api menyebabkan kira-kira 40,000 kematian setahun di AS, termasuk bunuh diri, menurut laman web Arkib Keganasan Senjata. – AFP
Sumber : UM