Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas pertuduhan memukul bapa kandungnya menggunakan topi keledar sehingga cedera, kerana berang disuruh tinggal berasingan dan berdikari, minggu lalu.
Tertuduh, C Kaviarasan, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja mendatangkan kecederaan dengan menggunakan topi keledar terhadap bapanya, S Chandran, 58, di sebuah rumah di Taman Seri Telok Emas, kira-kira jam 7 pagi 12 Januari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 236A akta sama, yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin yang kemudian mencadangkan jaminan RM20,000 berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri sekali setiap bulan di balai polis berhampiran dan tidak mendekati mangsa.
Namun, Kaviarasan yang tiada diwakili peguam, dilihat menangis dan merayu agar jaminan itu dikurangkan atas alasan sudah memberi kerjasama baik dalam siasatan kes berkenaan.
Lelaki Takut Beritahu Isteri Buang Kerja, Berlakon Pergi Kerja
Seorang penganggur di Hong Kong yang dipecat tahun lalu nekad menghabiskan beberapa bulan untuk berpura-pura pergi bekerja setiap hari kerana takut nak beritahu isteri dan keluarganya tentang nasibnya.
SCMP melaporkan, kesusahan lelaki yang berusia 46 tahun itu dikatakan serupa dengan filem Tokyo Sonata pada tahun 2008, sebuah filem Jepun yang menggambarkan kehidupan rakyat biasa yang terkesan dengan kemelesetan ekonomi.
Selepas berhempas-pulas memohon hampir semua pekerjaan yang serupa dengan pekerjaan lamanya di laman web pekerjaan Hong Kong, dia masih tidak menerima apa-apa maklum balas, menurut Office Daily.
“Saya fikir telefon saya rosak kerana tiada panggilan balas,” tulis lelaki itu dalam mesej yang disiarkan tanpa nama oleh Office Daily di laman Facebook pada 5 Januari lalu.
Pada mulanya, dia berpura-pura bercuti selama tiga minggu sebelum mula berpura-pura pergi dan pulang pada setiap hari ke pejabatnya yang tidak wujud itu, lapor SCMP.
“Saya tidak berani untuk memberitahu isteri saya,” katanya.
Menurutnya, dia kini terpaksa menanggung beban hidup dalam kepuraan. Dia sehinggakan sangat mengharapkan cuti umum supaya dia mempunyai sebab yang kuat untuk tinggal di rumah.
Walaupun masih mempunyai sedikit simpanan, lelaki itu juga bimbang tidak dapat mengekalkan penipuannya dalam tempoh lebih lama tanpa pekerjaan yang benar-benar bergaji.
Menurutnya, dia akan terus berpura-pura semasa Tahun Baru Cina yang bakal menjelang dengan membeli pakaian baru dan memberikan angpao kepada anak-anaknya seperti biasa.
Memetik SCMP lagi, nasibnya itu telah mendapat perhatian ramai di media sosial.
“Saya harap awak akan segera dapat pekerjaan yang baik. Semoga berjaya!” Kata salah seorang netizen.
Salah seorang daripada netizen menasihatkan supaya lelaki tersebut berlaku jujur dengan keluarganya.
“Bersikap jujur dengan keluarga akan membantu mengurangkan tekanan anda. Mereka mungkin mempunyai pendapat yang berbeza mengenai situasi anda,” katanya.
Pada bulan September hingga November 2022, kadar pengangguran Hong Kong berada pada 3.7 peratus berikutan penurunan berterusan selama tujuh bulan selepas mencapai paras tertinggi 12 bulan sebanyak 5.4 peratus pada Mei ketika COVID-19 melanda negara itu, menurut Jabatan Banci dan Perangkaan.
Ini adalah angka terendah sejak 3.4 peratus yang dicatatkan antara Disember 2019 dan Februari 2020 sekitar permulaan wabak COVID-19.
Seorang ahli ekonomi di Institut Perniagaan Asia Pasifik di Universiti Chinese, Simon Lee Siu-po berkata ketika ekonomi Hong Kong sedang pulih, peluang pekerjaan dijangka meningkat berikutan pembukaan sepenuhnya sempadan Hong Kong – China pada 8 Januari.
Sumber: KMN