Seorang Wartawan Ditemb4k M@ti Di Haiti | Seorang lelaki yang ditembak mati pada hujung minggu merupakan wartawan kelapan terbunuh di Haiti tahun ini, kata Persatuan Akhbar Antara Amerika (IAPA).
Memetik akhbar tempatan, Anadolu Agency melaporkan bahawa semasa pertempuran kumpulan pada 5 November, Fritz Dorilas yang bekerja dengan Radio Tele Megastar ditembak mati berhampiran rumahnya di kejiranan Tabarre di ibu negara Port-au-Prince.
Laporan lain menyebut Dorilas dibawa lari secara paksa dari rumahnya dan dibunuh. Polis masih belum memaklumkan bagaimana kematiannya itu berlaku.
Polis menyatakan bahawa mereka kesal dengan jenayah berdarah terhadap wartawan tahun ini di rantau mereka.
Carlos Jornet, Pengerusi Jawatankuasa Kebebasan Akhbar dan Maklumat IAPA telah menyatakan bahawa keadilan yang tidak dilaksanakan telah memberi lebih banyak insentif kepada individu ganas.
Nasib Dorilas adalah sama dengan tujuh lagi wartawan yang terkorban dalam insiden keganasan di Haiti, pada tahun ini.
Kurang seminggu lepas, seorang lagi wartawan Haiti, Romelson Vilsaint, meninggal dunia semasa protes di Port-au-Prince, dan bulan lalu pihak berkuasa menemui mayat wartawan radio Garry Tess.
Dua wartawan Haiti, Frantzsen Charles dan Tayson Lartigue, ditembak dan mayat mereka dibakar di Port-au-Prince pada September.
Pada Januari, dua lagi wartawan dibunuh oleh ahli kumpulan semasa melaporkan diri di La Boule, sebuah kawasan di selatan Port-au-Prince. Wilguens Louissaint dan Amady John Wesley dibakar hidup-hidup semasa cuba membuat laporan di kawasan itu.
Pertempuran antara kumpulan bersenjata telah menyebabkan ratusan orang mati di negara itu dan mendorong ribuan orang untuk melarikan diri daripada keganasan di Port-au-Prince, menurut pihak berkuasa.
Kerajaan Haiti dan PBB telah meminta bantuan keselamatan antarabangsa untuk menangani peningkatan keganasan yang berterusan.
Krisis dan huru-hara semakin memuncak di Haiti sejak beberapa hari lalu selepas sekatan oleh kumpulan penjenayah menyebabkan kekurangan makanan, air dan bahan api, ketika negara itu menangani wabak taun.
Sumber: Sinar Harian
Baca juga Artikel Lain:
Seorang Penyanyi Rap M@ut Ditembak | Salah seorang penyanyi daripada kumpulan rap Migos, Kirshnik Khari Ball atau dikenali sebagai Takeoff dilaporkan maut selepas ditembak di Houston, semalam.
Menurut laporan CNN, pihak polis menerima maklumat berhubung kes tembakan penyanyi tersebut sekitar jam 2.34 pagi waktu tempatan.
Dalam satu sidang akhbar semalam, Troy Finner, Ketua Jabatan Polis Houston berkata sewaktu tiba di 810 Billiard & Bowling Houston, pihaknya telah mengesahkan mangsa yang berusia 28 tahun maut di tempat kejadian.
Hasil siasatan awal mendapati, terdapat sebuah parti tertutup yang diadakan di lokasi mangsa ditemui mati.
Tambahan lagi, seorang lelaki berusia 23 tahun dan wanita berumur 24 tahun turut ditemui cedera dalam insiden tembakan itu.
Bagaimanapun, kedua-dua individu terbabit dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius dan telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.
Pihak polis juga menyatakan kebanyakan orang ramai melarikan diri dari tempat kejadian.
Berita pemergian mendiang memberi kesan yang mendalam kepada komuniti hip-hop di negara tersebut ekoran seorang penyanyi rap, PnB Rock turut maut ditembak pada September lalu.
Untuk makluman, pada 18 Jun 1994, Takeoff dilahirkan di Lawrenceville, Georgia. Beliau memulakan kerjayanya dengan membuat persembahan bersama bapa saudaranya dan rakan rap, Quavo serta Offset sebagai kumpulan Migos pada tahun 2008.
Kumpulan itu mula menempah nama dalam industri hiburan menerusi single pertama, Versace pada tahun 2013. Kejayaan mereka diteruskan sehingga pada tahun 2016 dengan lagu hit, Bad and Boujee yang menampilkan artis Lil Uzi Vert.
Sumber: Siakap Keli