Seram!Misteri Keranda 3 Jasad |Salam semua. Hari ini saya nak kongsikan cerita seram kepada anda. Bagi yang gemar membaca cerita seram jom kita baca sampai habis okay?
Muzik instrumental Caravansary dendangan Kitaro berkumandang ke segenap ruang. Ada sorotan cahaya kecil menembus masuk melalui salah satu lubang di dinding papan hingga membentuk satu garisan cahaya lurus. Biasan kecil itu terus-menerus mengena pada sebuah peti. Peti kayu yang kurang jelas bentuknya.
Kelihatan sekujur tubuh sedang berdiri di hadapan peti kayu itu. Diusap-usap peti itu sambil kepalanya diliuk-lentokkan ke kiri dan ke kanan; umpama bermelankolik. Tiba-tiba muzik terhenti. Tangan yang begitu asyik membelai turut sama terhenti. Dia lantas berlalu menuju ke suatu ruang gelap.
Pantas sebatang dian yang hanya berbaki separuh dinyalakan. Di ruang itu juga, terdapat sebuah kerusi dan sebuah meja kayu serta sebuah katil kayu yang dilapik kemas dengan kain berwarna putih bersih. Beberapa botol kaca kosong disusun di atas meja. Pada dinding papan itu pula tergantung beberapa jenis alatan muzik; sebuah gitar, dua buah biola, sebuah trompet dan tiga keping piring hitam.
Tubuh itu kemudiannya bergerak ke suatu ruang yang lain pula. Beberapa bingkai gambar yang diperbuat daripada kayu tergantung kemas di perut dinding. Namun begitu, potretnya kurang jelas seperti juga wajahnya yang tersorok di sebalik topeng. Dia berjalan lagi menuju ke sudut yang lain pula. Beberapa bilah pedang dan parang turut tergantung di dinding.
Ada ketikanya, cahaya dian mengena pada mata besi itu lalu memantul ke tubir mata. Alunan muzik instrumental menjadi kuat secara tiba-tiba. Serta-merta sang empunya diri tadi kembali ke dunianya semula; berkhayal.
‘Tok! Tok! Tok!’
Ketukan demi ketukan berteriakan. Ada ketukan yang kuat namun samar-samar. Sesekali, ketukan itu bertukar menjadi bunyi lolongan dan tendangan. Dia yang sedang asyik berkhayal mendengus tiba-tiba. Ketenangannya diragut! Cepat-cepat diarahkan kaki itu ke sisi peti kayu tadi. Peti kayu terus diketuk kuat dari luar.
“Diam! Aku cakap diam, diam!” Bunyi keriut daripada pijakan di papan lantai membisukan suara yang memekik. Dia kembali semula bersenandung dengan irama muzik instrumental yang benar-benar menusuk ke jiwa. Khayal dalam dunia yang serba-serbi sempurna; baginya.
*****
Hujan di langit sudah luruh. Bercerau-cerau bunyinya jatuh ke bibir bumbung. Budi sedang berlunjur di muka pintu sambil sebelah kakinya tergantung di tangga rumah. Seminit kemudian, dibengkokkan kakinya hingga kedua-dua lutut itu mengucup dagu.
Sesekali Budi akan angguk-anggukkan kepalanya dan kemudian menggeleng-gelengkan pula seperti menidakkan sesuatu. Matanya bulat memandang ke tengah laman yang berlopak. Beberapa ekor katak sedang berjoget di ruangan mata. Hati Budi tiba-tiba panas. Dihentak-hentakkan sebelah kakinya ke tangga. Dia tidak betah menunggu lagi.
Akhirnya Budi turun jua ke tanah. Tiga ekor katak sudah berada dalam genggaman. Mata Budi meliar mencari sesuatu. Dalam basah hujan yang melutu, Budi berlari menuju ke arah deretan pohon kelapa. Di situ, sudah terpacak sebatang kayu tajam yang dicipta oleh ayahnya sebagai alat untuk menggopek kepala. Seekor demi seekor tubuh haiwan amfibia itu menjadi korban. Tubuh haiwan itu ditusuk rakus pada batang kayu yang tajam meruncing. Maka, berhamburanlah darah merah ke sekitarnya.Budi tersenyum puas!
*****
Separuh dian yang bernyala tadi sudah terpadam sumbunya. Caravansaryyang turut bergema, juga sudah menyepi. Yang jelas, hanya keriutan pada papan lantai yang dipijak-pijak.
“Dengar… Oh jeritan batinku! Memekik-mekik, memanggil-manggil… namamu selalu! Sehari kurasa sebulan. Hatiku tiada tertahan! Kupandang kiri, kupandang kanan… dikau tiada… ,” Suatu suara kasar berserta tiupan trompet berkumandang di sekitar ruang gelap itu.
Keadaan masih belum nyata dan masih belum tahu gerangan empunya suara. Tiupan trompet berlagu lagi. Sungguh mengasyikkan.
“Risau… batinku menangis risau! Makin kau jauh, makin hatiku, bertambah kacau! Mengapa kita berpisah? Tak sanggup menahan asmara. Oh, dengarlah! Jeritan batinku!” Ada esakan di hujung nyanyian itu.
Suara kasarnya tiba-tiba menjadi sayu dan merintih pedih.
Suatu cahaya muncul tiba-tiba. Sebatang dian dinyalakan dan diletakkan di tengah-tengah ruang. Di situ terdapat sebatang tiang seri yang tegak mengampuh sebuah teratak kayu. Keadaan di ruangan itu juga masih sama. Ada alat-alat muzik, potret-potret, bilah-bilah pedang panjang dan se… sebuah peti kayu, mungkin. Ah, sebenarnya bukan satu tapi empat peti kayu kesemuanya. Dari jauh,kelihatan seperti…
KERANDA!!!
Lelaki bersuara kasar itu mampir ke sisi keranda. Dibukanya satu keranda; kosong!
Dibuka keranda kedua,
dan ketiga; jua kosong!
Keranda terakhir dibuka.
Sekujur tubuh yang tampak lemah ditarik keluar dengan kasar sekali.
“Tolong aku… tolong lepaskan aku… ,” lemah sekali suaranya. Tubuh si mangsa diheret ke tengah lalu diikat di tiang seri.
“Siapa kau? Kenapa kautangkap aku? Apa salah aku?”
Mangsa yang merengsa sedaya upaya mengamati wajah lelaki yang dilindungi sebuah topeng. Lelaki bertopeng itu berlalu pergi. Seminit kemudian, dia kembali memegang tukul besi dan beberapa bilah paku. Ditariknya tangan si mangsa ke lantai.
‘Tuk! Tuk! Tuk!’
Ketukan demi ketukan singgah di belakang telapak tangan mangsa.
“Arghhh! Sakit! Tangan aku!” Dua bilah paku menembusi telapak dan papan lantai. Semakin kuat jeritan dan pekikan, semakin kuatlah ketukan tukul di tangan.Lelaki bertopeng itu bangkit semula. Diperhatikan wajah sengsara di hadapannya yang kian meronta-ronta dan meminta simpati. Sekali pun hatinya tidak terkuis. Dia kembali memegang tukul lalu dihayunkan ke kedua-dua belah lutut mangsa.
‘Prakkk!’
Patah riuk tulang lutut mangsa dengan tiga kali hayunan yang sangat kuat.Dian yang masih terang kemilaunya itu kemudian dicapai. Dititik-titikkan cairan daripada dian yang membara ke dahi dan kemudian ke pipi mangsa. Jeritan mangsa sekadar melekat di kerongkong. Tiada upayanya lagi melainkan merintih dan menyerah diri. Sedangkan lelaki bertopeng terus tersenyum sinis.
*****
“Kenapa tak main sekali?” Suara seorang wanita menegur Budi dari arah belakang. Sekumpulan anak-anak berpakaian seragam sukan sedang riang bermain di padang nan hijau.
‘Cikgu Ayu rupanya.’
Budi tersenyum simpul memandang citra guru yang sangat mengambil berat akan dirinya itu.
“Mereka tak sukakan saya.” Jawapan Budi telah menjelaskan segala-galanya. Memang benar, tiada siapa yang mahu berkawan dengannya. Bukan hanya disebabkan ayahnya seorang penggali kubur bahkan dibenci kerana wajah hodohnya.
Sejak lahir lagi wajah Budi berlubang sebelah. Ada masanya, lubang yang tidak tahu bagaimana terjadi itu mengeluarkan cairan busuk seperti nanah. Mata kanannya pula sepet hingga hampir tertutup. Dek kerana itu, seluruh teman-teman memulaukannya.
“Tapi kenapa?” Soal guru itu lagi.
“Cikgu tak nampakkah atau buat-buat tak nampak? Muka saya buruk dan busuk! Ayah saya tukang gali kubur! Kerja tanam orang mati! Sepatutnya saya yang ditanam sebab saya memang tak layak hidup di dunia ni!” Sepantas kilat Budi berdiri dan mahu melarikan diri. Namun, tangannya pantas digapai oleh Cikgu Ayu.
“Melarikan diri bukan jalannya. Budi harus kuat. Ada sebab Budi dilahirkan. Allah tak memandang rupa yang jelek tapi hati yang murni. Jangan risau ya. Cikgu ada. Cikgu akan jaga Budi.” Pujukan Cikgu Ayu membunga di sukma Budi.
“Betul? Cikgu akan jaga saya selama-lamanya?” Soal Budi meminta kepastian.
“Ya. Selamanya. Janji!”
*****
Lelaki bertopeng sedang duduk di kerusi kayu. Di tangannya memegang sebuah bingkai kayu namun masih belum jelas potretnya. Lama dia merenung. Dia kemudiannya bangkit daripada duduk lalu menuju ke suatu sudut. Terdapat meja kecil di situ. Piring hitam diputarkan semula. Bergema terus alunan instrumental Caravansary. Lelaki bertopeng terus khayal dengan dunianya. Tiba-tiba mangsa yang tertidur di tiang seri sejak sejam tadi mula bersuara.
“Arghhh! Aduh! Tolong aku! Jangan seksa aku lagi!” Khayalan lelaki bertopeng mati tiba-tiba. Dia berdengus kuat. Dihentakkan kakinya ke lantai. Kemudian, lelaki bertopeng berjalan ke arah mangsa. Ikatan badan di tiang seri terus dibukakan. Namun, tangan yang dipakukan tadi masih melekat di situ. Lelaki bertopeng terus menarik badan mangsa. Tersekat. Mahu tidak mahu, tangan itu harus dipotong. Lalu, dicapainya sebilah pedang yang tergantung di dinding dan dihayun ke arah tangan yang terpaku kuat.
‘Zap!’
Satu demi satu tangan mangsa terputus dua. Lelaki bertopeng itu terus mengheret mangsa ke keranda yang terbuka. Dihumbankan mangsa ke dalam semula. Pintu ditutup. Bunyi keriut papan kembali berlagu. Lelaki bertopeng segera menuruni anak tangga. Mangsa seterusnya harus dicari. Dia nekad!
*****
“Saya mahu jadi tukang kayu, cikgu!” Ruang bilik darjah riuh-rendah dengan gelak ketawa murid-murid tahun empat. Masing-masing berbisik-bisik di antara satu sama lain. Ada yang mengetuk-ngetuk meja kerana tidak dapat menahan jenaka itu. Tidak kurang juga yang memerlinya tanpa rasa bersalah.Budi tunduk. Matanya dipatrikan ke lantai. Segenggam penumbuk sudah dibulat-bulatkan. Hanya menanti untuk dilepaskan sahaja.
“Shhh! Diam semua. Tak baik kamu persendakan cita-cita kawan kamu ni. Apa salahnya kalau Budi mahu jadi tukang kayu? Meja yang kamu tengah ketuk itu pun diperbuat daripada kayu. Jadi apa masalahnya?”Perlahan-lahan genggaman dilepaskan. Hati Budi berputik suka. Masih ada yang mahu memihak kepadanya. Masih ada yang mahu mempertahankannya.
“Boleh saya tanya kamu, Budi? Maaflah kalau soalan cikgu ni, akan buatkan kamu terasa hati. Sekadar ingin tahu. Bolehkah?” Budi mengangguk.
‘Tanyalah apa sahaja asalkan soalan itu keluar dari bibirmu, cikgu.’ Bisik hati kecil Budi.
“Kenapa kamu pilih untuk menjadi si tukang kayu?” Soalan itu berpusar-pusar di sekitar bilik darjah Budi. Kali ini, deraian ketawa kembali menggila. Budi yang berada di hadapan kelas, masih keras membatu. Ada kumat-kamit pada dua bibir yang bercantum itu namun belum sempat bersuara, bangkit seorang murid memberi asbabnya.
“Dia mahu buat keranda, cikgu! Ayahnya kan tukang gali kubur! Kalau tak ada keranda, macam mana nak tanam mayat?”Buk! Satu tumbukan menerjah ke pipi Zalie, murid yang tiba-tiba saja bangkit dan kini jatuh terduduk di lantai.
Budi puas!
Tumbukannya tidak tersasar langsung. Gelak ketawa yang bergegak-gempita sebentar tadi menjadi hingar-bingar dengan jeritan dan pekikan rakan sedarjah yang lain. Budi berlalu pergi. Wajah kelatnya sudah berona ceria. Sekali dia terlepas, jangan minta kakinya mengeras. Budi nekad!
*****
Sebuah meja kayu ditarik ke sisi katil. Kelihatan sekujur tubuh berada di atas katil itu. Tangannya terikat. Matanya ditutup dengan sehelai kain dan mulutnya diplaster kuat. Tubuh itu terus menggelupur dan meronta-ronta mahu melepaskan diri. Namun gagal! Dalam kesamaran, muncul seseorang dengan lengkap beruniform jururawat. Fiturnya tampak keras dan sasa. Lagaknya juga seperti dibuat-buat; seperti seorang lelaki menjadi wanita. Separuh wajahnya ditutup dengan topeng muka. Dia seakan-akan mahu melakukan pembedahan.
Di atas meja, ada tiga botol kaca dan beberapa alatan yang sering kali digunakan oleh jururawat dan doktor sewaktu melakukan pembedahan. Jururawat itu mencapai picagari yang lengkap dengan sebatang jarum bersaiz besar. Pelekat di mulut kemudiannya ditanggalkan. Tangan si mangsa dicapai lalu digosok-gosok dengan sehelai kapas. Dengan pantas, salur darah dicari.
“Arghhh!”
Injeksi berhasil!
Jururawat itu segera mengambil sesuatu dari bawah katil. Suatu tiub halus dikeluarkan dan disambung pada picagari tadi. Darah pekat dan merah terus mengalir laju ke dalam botol kaca. Satu demi satu botol putih itu bertukar warna. Wajah mangsa pucat tiba-tiba.
Jururawat itu kemudiannya menunduk semula sambil tangannya meraba-raba, mencari sesuatu dari bawah katil. Sejenis wayar jenis Iv Transfusion dan dua botol plastik seperti botol urine test dikeluarkan dan diletakkan di atas meja. Sebatang jarum jenis branula kemudiannya dicucuk pada belakang telapak tangan mangsa. Melalui Iv Transfusion, jururawat itu mengalirkan cecair asing
daripada dua botol tadi ke dalam salur darah mangsa.
“Kau buat apa ni? Tolong lepaskan aku!” Teriakan mangsa tidak dipedulikan oleh jururawat itu sebaliknya sekuntum senyuman yang dibalas.
“Pernah dengar tentang racun neurotoksin? Hemotoksin?Inhibitor?”
“Jangan bunuh aku! Tolong jangan bunuh aku!” Rayu mangsa itu lagi.
“Aku dah masukkan racun ular, racun kala jengking dan sedikit air kencing tikus dalam darah kau, Doktor Zalie! Kau tahu apa kesannya? Ia akan serang sistem saraf kau, lumpuhkan sistem pernafasan, rosakkan otak kau yang cerdik tu dan kemudian… MATI!” Berdekah-dekah ketawa jururawat itu.
“Aku ada terfikir untuk masukkan virus anjing gila tapi aku kasihankan kau. Aku tak nak kau mati dengan cepat. Perlahan… perlahan… perlahan. Sebab apa? Sebab, nanti tak ada doktor cerdik pandai macam kau ni nak rawat orang sakit!” Ketawanya tiba-tiba terhenti. Jururawat itu mengambil termometer dan tongue depressor
(alat penekan lidah) lalu dimasukkan ke dalam mulut mangsa.
“Lidah ok tapi mulut ada bau sikit tapi tak apa, aku ada ubatnya.” Jururawat itu segera menunduk dan mengambil sesuatu dari bawah katil.
“Aku dah sediakan ubat siap-siap. Kau pernah dengar tentang lampu pendafluor? Lampu nyah cas gas yang akan menghasilkan sinar ultraungu. Ah, aku rasa, aku tak perlu terangkan kesemuanya sebab kau dah terlebih bijak! Tapi, kalau aku masukkan serbuk-serbuk pendafluor ni ke dalam mulut kau, agak-agaknya, apa akan jadi ya?” Kali ini ketawa sang jururawat menjadi lebih kuat. Mangsa yang masih tertutup matanya sedaya upaya cuba melawan. Namun, suntikan daripada racun haiwan berbisa tadi telah melemahkan kudratnya.
“Kenapa aku? Aku tak pernah kacau hidup kau! Tolong lepaskan aku!”Mendengarnya, hati jururawat menjadi panas terbakar. Diambilnya serbuk pendafluor yang ditumbuk halus lalu dimasukkan ke dalam mulut mangsa. Berhamburanlah darah merah ke sekitar katil bercadar putih itu. Tidak cukup dengan itu, jururawat tadi terus mencapai botol-botol yang mengandungi darah mangsa lalu dituang ke dalam mulut.
Sebatang jarum dan seutas benang bercantum. Mulut mangsa yang masih meronta-ronta kesakitan dijahit kasar. Diambilnya pula sebilah pisau jenis scalpel lalu dituris ke pipi mangsa. Maka, terkoyaklah wajah kacak mangsa dengan darah yang tidak henti-henti mengalir.
Lantas, sature needle dicapai lalu dijahit luka di pipi itu tanpa rasa belas dan kasihan. Tubuh mangsa yang sedang terbaring direntap rakus dari atas katil lalu diusung ke sebuah keranda yang sudah siap sedia terbuka. Jururawat itu terus mengangkat mangsa dan menolaknya ke dalam keranda.
“Kalau enam belas tahun dulu kau bersumpah takkan kacau hidup aku, aku takkan buat engkau sampai jadi macam ni, Doktor Zalie! Tapi, disebabkan enam belas tahun lalu, aku bersumpah yang aku akan buat engkau dan kawan-kawan kau terseksa sampai macam ni!”
‘Bang!’
Pintu keranda ditutup!
*****
Zalie, Meor dan Alan sedang menunggu di bawah sebatang pokok yang terletak di luar pagar sekolah. Mereka mahu membuat perhitungan. Tumbukan sulung ke muka Zalie beberapa hari lepas cukup memalukan. Tambahan pula, Budi telah mendapat sokongan daripada Cikgu Ayu. Setiap aduan yang dibuat mendapat belas kasihan.
Budi memang patut diajar!
Kelihatan Budi baru sahaja melepasi pagar sekolah. Wajahnya tersenyum girang.
“Opsss! Tunggu dulu Encik Keranda Kayu bin Tukang Gali Kubur… ,” terbahak-bahak ketawa Meor dan Alan. Hampir terguling-guling mereka menahan jenaka kasar Zalie. Budi tidak mahu bertelagah lagi. Dipaksakan kakinya berlalu meninggalkan Zalie dan kawan-kawannya.
“Nanti! Jangan sombong, kawan.” Zalie memberi isyarat kepada Meor dan Alan. Mereka terus menangkap badan Budi lalu ditolak ke suatu kawasan semak.
“Kau orang nak buat apa ni? Apa dosa aku sampaikan kau orang benci sangat dengan aku?” Rintihan Budi masih di awang-awangan. Tidak ada sesiapa di antara mereka bertiga yang mempedulikannya.Zalie menyeluk ke dalam beg galas. Di tangannya, ada satu bungkusan hijau dan isinya berwarna putih. Dengan pantas, dituang isi bungkusan itu ke dalam mulut Budi.
“Uhuk!”.
Tersedak-sedak Budi dibuatnya. Serbuk tepung yang dituangkan Alan itu mengembang di rongga mulut. Zalie kemudiannya mengoyak mulut Budi, lalu dibuangnya baki kahak yang menguning ke dalam mulut yang sama.
“Uwekkk!”
Segala isi perut dimuntahkan Budi. Meor yang dari tadi memegang tubuh badan Budi turut sama termuntah.
“Yucks! Pengotor betul kau ni! Najis! Agak-agaklah nak sumbat dalam mulut dia pun. Kau tengok muka berlubang dia pun dah tak lalu. Sekarang ni engkau busukkan lagi muka dia dengan bau kahak kuning kau tu. Pui! Memang tempah nerakalah kau ni Zalie! Pesan awal-awal kat dia yang kau nak keranda satu dan jangan lupa, tempah lubang kubur sekali! Pakej, kain kapan!” Belum sempat Zalie membidas kata-kata Meor, dia terlebih dahulu berlari pergi. Di sepanjang jalan termuntah-muntah Meor dibuatnya. Tidak sanggup rasanya menelan kahak bakir Zalie yang menerjah terus ke tekak kering.
*****
Sekitar ruang yang bermandikan cahaya dian kini lebih terang kemilaunya. Tiga batang dian telah dinyalakan. Alunan muzik instrumental Caravansary yang agak lama menyepi kini kembali beraksi. Begitu tenang dan mendamaikan jiwa. Kelihatan lelaki bertopeng sedang duduk berlunjur di sisi dua peti keranda yang sudah ada penghuninya.
Kedua-dua pintu keranda itu tidak ditutup rapat. Ada ruang nafas di situ agar mangsa-mangsanya tidak terus mati. Mereka masih berpeluang untuk menikmati saki-baki hidup yang menggembirakan. Tiba-tiba lelaki bertopeng itu membuka salah satu pintu keranda. Dia mengejutkan mangsa yang pertama. Tangan kirinya pula memegang wajah dan topeng muka dibuka.
“Alan, bangun!”
Mangsa yang bernama Alan itu terpisat-pisat memandang wajah yang cukup dikenalinya. Wajah Budi. Lelaki bertopeng tadi sudah menunjukkan rupa sebenarnya.
“Maafkan aku Budi. Apa yang dah aku buat dulu, hanya mengikut arahan Zalie. Maafkan aku, Budi!” Alan tidak henti-henti memohon keampunan kerana sebarang kemungkinan boleh terjadi. Alan mahu segera pulang. Pulang ke rumah dan bertaubat.
“Kau ada jumpa Cikgu Ayu? Dia sihat?” Kata-kata Alan tidak bersambut sebaliknya, Budi mulai berbicara dengan suara yang cukup lembut. Tidak ada dengusan dan kemarahan. Alan yang mendengar pertanyaan Budi cuba untuk menjawab walaupun dalam keadaan terketar-ketar. Wajah Budi tidak seteruk dulu namun sikap Budi lebih teruk daripada dirinya, Zalie dan Meor.
“Ada. Dia dah kahwin pun.”
*****
Hampir satu jam Budi berdiri di hadapan kereta Daihatsu Charade Runabout (G10) milik arwah ayahnya yang terletak bertentangan dengan rumah teres setingkat itu. Budi mahu tahu kebenarannya. Kata-kata Alan mengenai guru kesayangannya itu disangkal sekeras-kerasnya.
Alan bohong! Cikgu Ayu tidak akan lakukan semua itu! Dia sudah bersumpah janji. Budi tahu, Cikgu Ayu takkan sesekali memungkirinya. Pandangan Budi tiba-tiba jatuh pada suatu gerak tubuh seorang wanita yang cukup dikenalinya. Kebetulan, wanita itu keluar ke laman lalu dibukanya pintu pagar rumah. Budi masih samar-samar. Ada sesuatu yang berbeza pada tubuh wanita itu.
Ya, perut yang membuncit dan dia? Dia…?
“Cikgu Ayu!”
*****
“Dengar… Oh jeritan batinku! Memekik-mekik, memanggil-manggil… namamu selalu! Sehari kurasa sebulan. Hatiku tiada tertahan! Kupandang kiri, kupandang kanan… dikau tiada… . Risau… batinku menangis risau! Makin kau jauh, makin hatiku, bertambah kacau! Mengapa kita berpisah? Tak sanggup menahan asmara. Oh, dengarlah! Jeritan batinku!” Tiupan trompet kembali bergema.
Namun, si pemainnya tidak kelihatan. Dia mungkin berada di mana-mana. Namun, di tengah-tengah tiang seri, kelihatan seorang wanita berbadan dua sedang duduk di atas sebuah kerusi kayu dengan keadaan tidak sedarkan diri. Tangannya pula diikat ke belakang dengan seurat tali tangsi.
“Saya kat mana ni?” Wanita itu mula bersuara. Tubuhnya terasa amat lemah. Tiupan trompet terus terhenti.
“Tolong saya! Jangan seksa saya macam ni! Mana awak? Saya tak nampak awak! Tolonglah… jangan bunuh anak saya!” Dalam sorotan cahaya dian yang tidak begitu terang, muncul seorang laki-laki segak berpakaian seperti Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. Di tangannya memegang sebuah trompet. Lelaki mirip seniman agung itu lengkap bertopeng. Hanya dua anak matanya sahaja yang berkilauan kesan percikan cahaya dian.
“Siapa awak? Kenapa culik saya? Saya tak kenal pun awak! Tolong lepaskan saya. Kasihanilah saya! Tolonglah… ,” lelaki itu merapatinya, duduk bercangkung sambil memegang lutut wanita itu.
“Cikgu tak kenal saya?” Topeng dibuka. Kelihatan suatu wajah yang masih sama seperti berbelas-belas tahun dahulu; wajah buruk Budi.
“Budi?”
Budi mengangguk. Diarahkan kakinya menuju ke suatu sudut. Budi mencapai beberapa buah bingkai kayu yang berpotretkan wajah Cikgu Ayu. Budi menghampirinya semula. Mengusap perut Cikgu Ayu. Membelai-belai tubuh Cikgu Ayu yang dirasakan sejuk dan gementar. Budi merapatkan pipinya ke pipi Cikgu Ayu. Dielus-elus rambut Cikgu Ayu yang masih basah.
“Cikgu dah lupa ke janji kita? Janji cikgu enam belas tahun dulu?” Ujar Budi mengembalikan semula memori mereka berdua.
“Janji apa?”
Soalan Cikgu Ayu tidak membantu sedikit pun. Amarah Budi tiba-tiba memuncak. Diterkamnya bahu Cikgu Ayu hingga kerusi yang melapik bontotnya terangkat sebelah.
“Janji untuk jaga saya sampai bila-bila! Cikgu lupa?” Wajah Budi menyinga. Ditarik bow tie yang melekat di leher. Rambut yang disisir rapi tadi, turut dikusut-masaikan. Budi sudah naik gila. Ditolak segala botol-botol darah yang sudah kosong, perkakasan bedah yang tersusun di atas meja hingga jatuh ke lantai. Gitar, biola segala benda yang ada di dinding direntap sesuka hati.
Selama ini, rumah peninggalan ayahnya telah dihias indah semata-mata kerana Cikgu Ayu. Dia tahu Cikgu Ayu sukakan lagu-lagu seniman . Dek kerana itu, Budi mahu jadi seperti seniman.Melihatnya, Cikgu Ayu jadi semakin takut. Tubuhnya menggeletar. Belum pernah dia melihat Budi menjadi seganas itu. Tiba-tiba…
‘Tok! Tok! Tok!’
Kedengaran bunyi ketukan dan tendangan yang sedikit kuat dari suatu arah. Tergesa-gesa Budi berjalan ke arah bunyi itu. Sebuah keranda ditolak ke tengah. Bersusah payah dia menolak dan menariknya. Budi kembali semula dan menolak sebuah lagi keranda. Kedua-dua keranda itu berada betul-betul di hadapan Cikgu Ayu.
“Kenapa cikgu kahwin sedangkan cikgu kena jaga saya sampai bila-bila? Kenapa cikgu buncitkan perut cikgu untuk lelaki lain dan bukan untuk saya? Saya yang patut cikgu jaga! Saya yang berhak dapat cikgu bukan bapak dalam perut cikgu tu!” Budi menghentak-hentakkan kakinya pada keranda. Dengusan kasar nafasnya turun naik seperti bermarathon.
“Cikgu… cikgu minta maaf Budi. Cikgu tak tahu semua tu. Cikgu… ,”
“Sebab muka saya buruk orang hina saya. Ni, cikgu tengok ni!” Budi membuka kedua-dua pintu keranda itu. Ditarik keluar tubuh Zalie dan Alan yang sedang menunggu sakaratulmaut. Mereka benar-benar lemah dan tidak berdaya untuk melawan. Cikgu Ayu menjerit terkejut. Kelihatan tubuh Zalie sedang meringkuk dengan mulut dan pipinya berjahit. Kesan percikan darah di sekitar mulut yang sudah kering juga jelas kelihatan. Mata Cikgu Ayu beralih kepada Alan. Di wajah Alan, tidak ada secalit luka pun. Namun, Alan cukup lemah.
“Apa kamu dah buat ni Budi?
Sekalipun mereka pernah buat salah, bukan begini caranya. Ada banyak cara lain lagi yang boleh kita ambil.” Cikgu Ayu cuba berlagak tenang. Dia tidak mahu memberi tekanan kepada Budi dan anak dalam kandungannya itu.Budi menggeleng laju. Ditariknya Alan keluar dari dalam keranda. Tangan Alan sudah terpotong dua. Kakinya juga lembik; seperti patah.
“Orang hina aku! Hina rupa aku! Hina kerja bapak aku! Kau tak rasa semua tu! Mereka tak tahu, kalau mereka mati, siapa yang akan gali kubur mereka?Siapa? Bapak aku! Tapi bapak aku dah tak ada. Jadi, akulah yang paling layak untuk tanam mereka dalam keranda yang mereka dah tempah siap-siap!” Hilang terus panggilan hormat Budi terhadap gurunya itu.
Dalam keadaan terhuyung-hayang, Budi berjalan menuju ke suatu sudut. Muzik instrumental Caravansary kembali bergema.
“Saya suka muzik ni. Cikgu mesti suka juga kan? Saya tahu cikgu akan jaga saya… akan kahwin dengan saya kan? Cikgu dah janji!” Watak Budi tiba-tiba bertukar semula. Dia kemudiannya merapati Cikgu Ayu. Dicumbu-cumbu wajah putih gebu Cikgu Ayu. Alan dan Zalie yang turut melihat sekadar melolong sendiri. Mereka tidak mampu berbuat apa-apa.
“Mengucap Budi! Saya ni isteri orang! Jangan hina saya sampai macam ni! Saya takkan jadi isteri awak sampai bila-bila! Saya dah ada suami! Dah nak ada zuriat pun! Tolong lepaskan saya, Budi! Lepaskan!”Budi sekadar tersenyum. Dia berjalan menuju ke suatu arah. Berdencang-dencang bunyi pedang tatkala Budi mencapainya. Pedang itu dibawa ke tengah lalu dihayun perlahan ke arah perut Cikgu Ayu. Cikgu Ayu terus menunduk sambil mulutnya terkumat-kamit memohon pertolongan kepada Yang Maha Berkuasa.
“Cikgu nampak keranda-keranda tu?” Budi memuncungkan bibirnya ke arah dua buah keranda yang masih kosong.
“Sebenarnya, salah satunya untuk Meor. Tapi saya tahu, Meor dah mati. Dan kalau dia masih hidup pun, saya mungkin takkan seksa dia macam saya seksa ‘manusia-manusia’ tu! Sejahat-jahat Meor, dia masih ada belas kasihan.” Budi terus bermain-main dengan rambut Cikgu Ayu.
“Terlupa pula saya… ada satu lagi keranda kosong. Cikgu nak ke keranda tu?” Kali ini degupan jantung Cikgu Ayu makin kuat bergoncang. Dia tidak mahu perkara yang lebih buruk terjadi. Mukanya membiru takut.
“Keranda tu saya tak buat untuk orang yang saya sayang dan cintai. Cikgu tahu apa yang saya rasakan sekarang? Saya rasa, saya dah cukup puas hidup dengan hanya menelan caci-maki dan hinaan manusia. Kasih sayang dan cinta terlalu jauh untuk saya miliki. Jadi, untuk apa lagi saya teruskan kesakitan ini? Kan?” Budi kembali bermain-main dengan pedangnya.
‘Zappp!’
Sebilah pedang sudah tertusuk jauh ke perut Budi. Ditarik keluar hulunya. Sesaat, Budi kembali membenam mata pedang itu ke tempat yang sama. Darah merah berhamburan ke segenap sisi. Tidak kurang juga terpalit pada perut Cikgu Ayu yang membunting. Alan dan Zalie yang bila-bila sahaja akan mati turut sama mengunyah hanyir darah. Budi jatuh terjelepok. Tangannya menggeletar menahan sakit. Akhirnya, Budi terbaring dengan matanya sekejap terpejam, sekejap dibuka semula.
Budi terus tersenyum sambil menudingkan jari ke arah kerandanya. Muzik instrumental Caravansary terus bergema, mengiringi hayat Budi yang cuma tinggal sesaat sahaja.
-TAMAT-

Share.

Leave A Reply