Solat Rapatkan Saf, Ini Respon Kerajaan Negeri Pulau Pinang | Kerajaan ne­geri bersedia untuk membenarkan pelaksanaan solat berjemaah di masjid dan surau tanpa penjarakan fizikal seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin.

Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, satu mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat bagi mendapatkan ketetapan termasuk tarikh pelaksa­naan solat dengan merapatkan saf.

“Kita belum lagi buat keputusan, namun secara dasarnya jika cadangan ini disyorkan, kita akan ikut,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Aktiviti solat jemaah di masjid, surau atau upacara sembah­yang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal bermula 1 April ini.

Pelaksanaan dan prosedur operasi standard (SOP) akhir untuk masjid, surau bagaimanapun tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama negeri dan untuk rumah ibadat selain Islam, tertakluk kepada Kementerian Perpaduan serta Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain.

Sementara itu, Imam Masjid Jamek Ar. Rahman Batu Ferringhi, Rosli Awang Hat berkata, pihaknya menyambut baik keputusan Kerajaan Pusat dan langkah itu diyakini dapat mengimarahkan semula aktiviti di masjid dan surau di Pulau Pinang selepas ini.

“Ia (pengumuman) seperti hadiah buat umat Islam yang akan menempuh Ramadan pada April ini,” katanya.

Di Terengganu, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu, M. Rozi Bidin berkata, keputusan untuk memansuhkan penjarakan fizikal bagi solat berjemaah di surau dan masjid akan diputuskan tidak lama lagi.

“Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu akan melakukan penelitian sebelum dibawa untuk perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin,” katanya.

Di Perlis, masjid di negeri itu pula masih kekal mengguna pakai SOP seperti yang dititah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada Januari lalu.

Buat masa ini, saf dirapatkan dengan kadar jarak sejadah ma­sing-masing.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply