‘Sportcheck’ Tempat Kerja Perlu Dilakukan, Elak Penularan Wabak Covid-19 | Pada hari ini, kita semua sedang berhadapan dengan situasi yang agak membimbangkan berikutan penularan jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat di negara ini.

'Sportcheck' Tempat Kerja Perlu Dilakukan, Elak Penularan Wabak Covid-19

Kuala Lumpur: Pemeriksaan mengejut perlu dilakukan pihak berkuasa di tempat kerja bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi sekali gus mengekang penularan jangkitan Covid-19.

Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM), Che Hassan Che Johan berkata, ia susulan peningkatan kes positif Covid-19 di negara ini yang membimbangkan dengan hampir setiap hari terdapat kluster baharu berkaitan tempat kerja dilaporkan. Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu melakukan pemantauan di bangunan pejabat, pejabat kerajaan serta kilang.

Menurut beliau, tidak dinafikan terdapat segelintir majikan yang alpa dalam soal pematuhan SOP dalam kalangan pekerja seperti mendaftar masuk, pemeriksaan suhu dan pemakaian pelitup muka. Jelasnya lagi, pelanggaran SOP itu tidak hanya berlaku di kawasan kilang, tetapi jika dibuat pemeriksaan di jabatan kerajaan pun mungkin ada.

“Oleh itu, pemeriksaan secara menyeluruh perlu dilakukan pihak berkaitan dan tindakan tegas wajar dikenakan terhadap majikan yang gagal memastikan SOP dipatuhi,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Mengulas lanjut mengenai itu, Che Hassan berkata, majikan memainkan peranan yang besar dalam menangani penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja terutama bagi pekerja kilang. Katanya, kebanyakan pekerja kilang seperti warga asing tinggal di asrama atau kediaman disediakan majikan dalam keadaan bersesak.

“Apabila pulang ke rumah sudah tentu mereka ini tidak ikut SOP, tambah pula apabila majikan bersikap tidak ambil peduli dengan keadaan kebersihan tempat tinggal pekerja.

“Mereka hanya direkod suhu badan apabila masuk bekerja dan selepas itu bergaul bebas terutamanya ketika waktu makan. Situasi inilah yang menyumbang kepada berlakunya penularan Covid-19,” katanya.

Beliau yang turut mengendalikan pekerja warga asing di sebuah kilang di Kuchai Lama berkata, pihaknya terikat dengan SOP ketat oleh pihak pengurusan bagi memastikan pekerja tidak dijangkiti wabak.

Menurutnya, pemeriksaan suhu badan akan dilakukan setiap hari semasa masuk kerja dan pulang ke asrama selain turut menjalankan pemeriksaan kebersihan pekerja di asrama.

Tambah beliau, majikan perlu tegas dalam memastikan pekerja berdisiplin dan mematuhi SOP ditetapkan setiap masa.

Sumber: Harian Metro

Share.

Leave A Reply