Suami Atau Bekas Suami Culas Bagi Nafkah Berdepan Sekatan Bank. | PUTRAJAYA: Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) memaklumkan, suami atau bekas suami yang culas memberi nafkah bakal berdepan tindakan sekatan akaun bank.

Suami Atau Bekas Suami Culas Bagi Nafkah Berdepan Sekatan Bank.

Menurutnya, tindakan itu dikenakan selepas pindaan terhadap Jadual 11 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 diluluskan dan diwartakan pada 10 Februari lalu.

“Pindaan pada perenggan lima Jadual 11 itu memasukkan pematuhan dan penzahiran maklumat bawah hiwalah, iaitu pemindahan hutang daripada penghutang penghakiman kepada pihak ketiga, iaitu institusi kewangan kepada pemiutang penghakiman.

“Selain itu, perenggan enam jadual sama berhubung penzahiran maklumat pemilik akaun di institusi kewangan melalui perintah mahkamah, tidak kurang daripada mahkamah sesyen turut diperluas kepada perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah rendah syariah, mahkamah tinggi syariah dan mahkamah rayuan syariah.

“Berikutan pindaan itu, perintah hiwalah yang dikeluarkan oleh mana-mana peringkat mahkamah syariah boleh dilaksanakan oleh institusi kewangan berdasarkan kepada peruntukan undang-undang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah JKSM yang juga Ketua Hakim Syarie, Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata, tindakan sekatan terhadap akaun itu dilaksanakan sehingga suami atau bekas suami penghutang penghakiman menyelesaikan hutang nafkah mereka.

“Kami akan memaklumkan kepada pihak suami atau bekas suami yang culas berhubung tindakan sekatan bank itu,” katanya.

Sumber: Utusan

Share.

Leave A Reply