Suami Bvnuh Isteri OKU ‘Penat’ Jaga Selama 40 Tahun | Seorang suami nekad membunuh wanita itu dengan menolaknya ke dalam laut kerana penat menjaga isterinya yang kurang upaya.
Lelaki yang berusia 81 tahun di Jepun itu bertindak demikian selepas mendakwa penat menjaga isterinya selama 40 tahun.
Portal The Independent telah melaporkan, polis di Oiso, wilayah Kanagawa di Jepun, berkata bahawa suspek dikenali sebagai Hiroshi Fujiwara, berumur 81 tahun, mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh isterinya.
Dia memberitahu polis, pada 3 November, sekitar 5.30 petang waktu tempatan, dia mendorong kerusi roda isterinya, Teruko, 79, ke jeti di Oiso dan menolaknya ke dalam laut.
Media tempatan melaporkan bahawa Fujiwara mengakui jenayahnya kepada anak sulung mereka tidak lama kemudian.
Japan Times melaporkan, anak lelaki pasangan itu kemudian menghubungi polis tempatan untuk memaklumkan mengenai kejadian itu.
Anak lelakinya memberitahu kepada polis bahawa ayahnya kata kepadanya tolak ibunya ke laut.
Pasangan itu tinggal berdua dan Fujiwara memberitahu polis, dia menjaga isterinya yang kurang upaya selama lebih 40 tahun.
Pada Jumaat, balai polis Oiso Polis Wilayah Kanagawa berkata, Fujiwara ditangkap sehari selepas kejadian dan ditahan polis kerana disyaki membunuh.
Mainichi melapor bahawa pada 3 November, saksi kejadian menghubungi polis sekitar 7 petang selepas melihat mayat terapung di perairan.
Wanita berusia 79 tahun itu dibawa ke hospital selepas perkhidmatan kecemasan membawanya keluar dari laut, tetapi disahkan meninggal dunia.
Di Jepun, daripada jumlah penduduk 126 juta, lebih daripada satu perempat mereka berusia 65 tahun ke atas.
Selepas kejadian ini, pengguna media sosial di Jepun menuduh kerajaan mengabaikan penderaan yang dihadapi warga emas di negara itu.
South China Morning Post melaporkan, tinjauan oleh Kementerian Kesihatan dan Kebajikan di Jepun mendapati terdapat 17,281 insiden orang tua diserang secara fizikal oleh ahli keluarga pada 2020, dengan 25 kematian berlaku akibatnya.
Sumber: Harian Metro