Sungai Buluh Merupakan Sungai Paling Tercemar Di Malaysia | Usaha untuk memulihara Sungai Buluh dalam Kawasan Industri Pasir Gudang yang kini telah dikategorikan sebagai sungai paling tercemar di negara ini perlu segera dilakukan.
Pasir Gudang: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, perancangan jangka panjang dan jangka pendek dalam memulihara sungai tersebut harus dirangka. Jelasnya, ini kerana Sungai Buluh sudah berada pada tahap kritikal dan gagal ditangani dengan berkesan oleh pihak yang berkaitan.
Menurut Hassan, Sungai Buluh yang mengalir di tengah-tengah kawasan industri itu telah disifatkan sebagai ‘sungai mati’. Hal ini kerana, airnya yang berwarna hitam pekat dengan berbau busuk dan juga meloyakan.
“Itu belum lagi dibuat kajian tentang keadaan airnya. Usaha menghidupkan Sungai Buluh perlu dilakukan dalam mencapai pembangunan yang mapan dan lestari,” katanya.
Beliau berkata deemikian kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Hassan Karim dan Pimpinan Pakatan Harapan Pasir Gudang di Taman Siera Perdana, di sini.
Menurut Laporan Kualiti Alam Sekitar (EQR) yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum ini, Sungai Buluh dan Sungai Tukang Batu berada dalam kategori kelas lima atau sungai mati. Bukan itu sahaja, Sungai Buluh juga turut dikategorikan sebagai sungai paling kotor di Johor serta salah satu daripada lima sungai yang paling tercemar di Malaysia.
Hassan berkata, pencemaran di sungai tersebut telah berlaku sejak 1970-an akibat daripada aktiviti industri di kawasan sekitarnya dan sudah banyak dilaporkan namun sehingga kini keadaannya masih sama dan tiada perubahan.
Beliau meminta pihak industri, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pegawai Daerah Johor Bahru dan Exco Kerajaan Johor supaya mengambil tindakan bersepadu bagai menyelamatkan sungai itu.
Katanya, selain pihak terbabit, masyarakat juga perlu bertanggungjawab untuk menjaga sungai itu dengan tidak membuang sampah sarap ke sungai dan di kawasan di sekitarnya. Sekiranya sungai itu dapat dipulihkan, ia berpotensi untuk dijadikan sebagai kawasan rekreasi.
Sumber: Sinar Harian