Syarat Hadir Solat Jumaat. Ini Jawapan Jakim Kepada Orang Ramai | Khalifah Media Networks – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menjelaskan syarat bagi membolehkan jemaah hadir ke masjid atau surau untuk menunaikan solat Jumaat ditentukan pihak berkuasa agama negeri dan terpakai di masjid serta surau di negeri terbabit sahaja.
Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff, berkata pihaknya menghormati ketetapan dibuat pihak berkuasa agama negeri Selangor. Malah menasihati umat Islam mematuhi SOP ditetapkan.
Katanya, sukacita ingin dimaklumkan bahawa syarat berkenaan ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri Selangor. Ianya hanya terpakai kepada masjid dan surau di negara berkenaan sahaja.
SOP solat berjemaah di masjid dan surau di lain-lain negeri masih seperti biasa. Perkara ini adalah tertakluk keputusan pihak berkuasa agama negeri masing-masing, katanya lagi dalam satu kenyataan.
Difahamkan, SOP yang ditetapkan bagi memastikan usaha menjaga dan memelihara maslahah dalam mengawal penularan wabak COVID-19 mencapai matlamat.
Ketetapan Solat Berjemaah
Berdasarkan ketetapan surat edaran bertarikh 21 Februari itu menyatakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, berkenan mengekalkan ketetapan solat Jumaat, solat lima waktu dan program pengimarahan yang dikeluarkan JAIS bertarikh 20 Januari lalu.
Ketetapan bertarikh 20 Januari lalu itu, menjelaskan mengenai Ketetapan Baru Pelaksanaan Solat Fardu Jumaat Dengan Kapasiti Penuh Serta Penjarakan Fizikal 1.0 Meter Antara Jemaah Di Semua Masjid, Surau Kebenaran Solat Jumaat Di Selangor.
Bagaimanapun, susulan perkembangan terkini penularan COVID-19 dan kebimbangan baginda akan berlaku situasi lebih buruk. Malah menjejaskan aktiviti di masjid, surau dan musolla semasa dan selepas mendapat nasihat Jabatan Kesihatan Selangor. Baginda berkenan supaya pentadbir masjid, surau dan musolla di seluruh Selangor mempertingkatkan penguatkuasaan.
Jelasnya, antara perkara yang ditekankan dalam edaran itu adalah jemaah yang menerima vaksin lengkap dua dos dan vaksin penggalak dibenarkan hadir bagi menunaikan solat Jumaat.
Tambahnya, pihak masjid juga perlu memastikan penandaan kedudukan jemaah dilakukan dengan jelas. Seperti di ruang dewan solat utama dan ruang limpah masjid, surau dan musolla berdasarkan penjarakan fizikal 1.0 meter.
Ujarnya, selain itu, jemaah perlu mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) sedia kala. Contohnya sihat dan tidak bergejala, memakai pelitup muka, membawa sejadah besar dan berwuduk. Selain mempamerkan dan merekod kehadiran melalui aplikasi MySejahtera.
Oleh itu, pengurusan juga perlu memastikan ventilasi ruang solat berhawa dingin. Dengan membuka sebahagian pintu dewan solat utama masjid, surau dan musolla. Hal ini bagi memastikan tidak berlaku kitaran peredaran udara tepu yang memungkinkan penularan lebih mudah berlaku.
Tambahnya lagi, pengurusan juga perlu memastikan sanitasi dibuat secara berjadual, khususnya sebelum dan selepas solat atau majlis membabitkan penyertaan jemaah yang ramai.
Sumber: Berita Harian