Tentera Hamas Sasar Roket Ke Tel Aviv, Balasan Selepas Israel Hancurkan Menara Gaza| Kumpulan pejuang Gaza telah melancarkan serangan balas ke arah tentera Zionis selepas mereka menjalankan serangan udara ke atas Gaza baru-baru ini yang telah mengorbankan 20 orang awam termasuk sembilan kanak-kanak manakala seramai 65 orang mengalami kecederaan.
Tel Aviv: Hamas telah melancarkan roket menyasarkan hab ekonomi Israel, Tel Aviv, pada Selasa sebagai tindak balas kepada Israel yang melancarkan serangan memusnahkan satu blok bangunan 12 tingkat di Gaza.
Peningkatan mendadak serangan didorong keganasan di Baitulmaqdis yang membunuh sekurang-kurangnya 30 rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dan tiga warga Israel, manakala ratusan tercedera.
Dalam pada itu, Menteri Pertahanan, Benny Gantz, memberi amaran dengan berkata, ‘Ini hanya permulaan’ kepada serangan Israel. Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh berazam bahawa pihaknya bersedia berdepan, jika Israel ingin meningkatkan serangan.
Utusan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi Perdamaian Asia Barat, Tor Wennesland, berkata tatkala ini, Israel dan Hamas sedang menuju ‘perang berskala penuh’.
Sementara itu, di kawasan Gaza yang sesak, 10 kanak-kanak dan seorang wanita adalah antara mangsa terkorban, sejak malam kelmarin.
Seramai 203 orang yang dilaporkan cedera akibat serangan udara berterusan Israel dan ramai juga yang telah diselamatkan daripada runtuhan bangunan berkenaan. Manakala di Israel, kedengaran siren ketika serangan roket Hamas dan beberapa mangsa gagal berlindung di tempat perlindungan bawah tanah dekat bawah jambatan.
Penduduk Ramat Gan di Tel Aviv, Haim Roy Ben Shlomo, 38, berkata ‘ia menakutkan’, selain terdengar ‘beberapa tembakan atau ledakan yang kuat di atas kepalanya’.
Dalam pada itu, seorang wanita Israel terbunuh ketika roket terkena Rishon Lezion di pinggir selatan bandar pesisir, manakala sebuah bas terbakar dalam serangan berhampiran Holon di rakaman AFP menunjukkan pasukan penyelamat sedang membersihkan serpihan.
Kejadian itu memaksa Israel menghentikan penerbangan di lapangan terbang utamanya Ben Gurion, berhampiran Tel Aviv.
Sementara di Gaza, orang ramai mengasingkan serpihan susulan serangan udara Israel menghancurkan bangunan 12 tingkat.
Sumber: Berita Harian