Akibat Rentas Negeri Tanpa Kebenaran, Remaja Dikompaun RM 5,000

| May 11, 2021 | 0 Comments

Akibat Rentas Negeri Tanpa Kebenaran, Remaja Dikompaun RM 5,000 | Seorang remaja perempuan dikompaun sebanyak RM 5,000 kerana merentas negeri tanpa kebenaran pihak polis dengan menggunakan perkhidmatan tren di Terminal Pengangkutan Penang Sentral, di sini malam tadi.

Akibat Rentas Negeri Tanpa Kebenaran, Remaja Dikompaun RM 5,000

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata remaja berusia 19 tahun itu dikompaun berikutan gagal mengemukakan surat kebenaran atau apa-apa dokumen berkaitan ketika polis mengadakan operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di terminal itu.

Beliau berkata, pihaknya mengadakan pemantauan SOP di terminal pengangkutan berkenaan selepas beberapa mukim dan daerah dilaksanakan PKP kelmarin, sekaligus melarang pergerakan merentas daerah dan negeri.

Katanya, ketika pemeriksaan polis menemui sepasang kekasih dari Bukit Mertajam yang terletak dalam daerah Seberang Perai Tengah ke Penang Sentral yang terletak di Seberang Perai Utara.

Tambahnya, apabila siasatan dijalankan remaja lelaki berkenaan yang juga berusia 19 tahun datang dari Kedah sebelum bertemu teman wanitanya di Bukit Mertajam untuk sama-sama pergi temu duga kerja di sebuah syarikat di negeri ini.

Setelah melakukan pemeriksaan, pihaknya mendapati remaja lelaki berkenaan mempunyai dokumen rentas negeri termasuk surat panggilan temu duga kerja namun teman wanitanya tidak mempunyai apa-apa dokumen merentas daerah maka polis mengeluarkan kompaun terhadapnya.

Mengulas lanjut mengenai operasi yang diadakan, Noorzainy berpuas hati apabila pemeriksaan mendapati semua penumpang mempunyai surat kebenaran rentas negeri daripada pihak berkuasa.

Menurutnya, kebanyakan penumpang yang melakukan perjalanan rentas negeri adalah terdiri daripada pasangan jarak jauh (PJJ) manakala selebihnya adalah pelajar universiti yang baru menamatkan pengajian dan urusan bekerja.

Dalam pada itu, susulan pengumuman kerajaan yang melaksanakan PKP seluruh negara berkuatkuasa tengah malam tadi, Noorzainy memberitahu polis daerah itu mendirikan 12 sekatan jalan raya (SJR) bagi mengekang aktiviti rentas daerah dan negeri.

Tambahnya, dia memohon kerjasama orang awam supaya patuh kepada arahan kerajaan untuk sama-sama mengekang kes penularan Covid-19 yang masih tinggi.

Sumber: Berita Harian 

Tags: , , , , , , ,

Category: KESIHATAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *