Tetap Mencari Rezeki, Kudung Tangan ‘Dipotong’ Mesin Pemotong Kayu

| May 9, 2021 | 0 Comments

Tetap Mencari Rezeki, Kudung Tangan ‘Dipotong’ Mesin Pemotong Kayu | Perubahan zaman pada masa kini menyukarkan masyarakat untuk mencari pekerjaan walau dimana jua mereka berada. Namun berbeza bagi seorang lelaki yang berstatus orang kurang upaya (OKU) ini mempunyai semangat yang jitu untuk mecari pekerjaan.

Tetap Mencari Rezeki, Kudung Tangan 'Dipotong' Mesin Pemotong Kayu

Tumpat: Insiden pergelangan tangan putus terkena mesin ketika memotong kayu, 24 tahun lalu, memberi igauan ngeri buat Che Rosli Che Lil dari Kampung Berlian, di sini. Tragedi pahit itu berlaku ketika Che Rosli, 47, bekerja di sebuah kilang papan di Negeri Sembilan.

Ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini, bapa kepada enam cahaya mata itu tidak kekok dalam menguruskan kerja rumah dengan menyapu dan membakar sampah di hadapan rumah dan sesekali mendukung bayinya.

Menurutnya, selepas insiden itu, dia tidak mampu bekerja selama empat tahun disebabkan kecederaan yang dialami, sekali gus masih terbayang lagi kejadian ngeri yang menjadikan dia kini berstatus orang kurang upaya (OKU).

“Segala-galanya berlaku dengan pantas apabila batang kayu yang dipegang tiba-tiba terlepas kerana licin seterusnya mesin pemotong terus ‘memotong’ tangan kiri.

“Pergelangan tangan kiri saya terputus dan tidak dapat diselamatkan menyebabkan empat tahun saya mengambil masa untuk pulih sepenuhnya dari segi mental dan fizikal,” katanya.

Dalam pada itu, Che Rosli berkata, walaupun pekerjaan di kilang papan itu telah menyebabkan dia kehilangan pergelangan tangan kiri tetapi dia tetap mencari rezeki dengan melakukan kerja itu sehingga ke hari ini walaupun sudah beberapa kali berpindah kilang papan.

Katanya, hanya kerja itu sahaja yang mahir dilakukan, lebih-lebih lagi ramai rakan yang mengetahui kemahirannya dalam pekerjaan itu walaupun mengalami kekurangan fizikal.

Sementara itu, dia yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan di bawah Elaun Pekerja Cacat kini bekerja di sebuah kilang papan di Lubok Jong, Pasir Mas dengan anggaran gaji sekitar RM900 hingga RM1,200 bergantung kepada tan kayu yang dipotong.

“Setakat ini, saya tiada masalah untuk bekerja walaupun berhenti di satu-satu kilang papan tetapi tetap ada rezeki saya di premis sama yang lain kerana ada rakan yang mengenali dan tahu kemahiran saya mengendalikan kerja pemotongan kayu,” katanya.

Katanya, sejak tragedi pahit itu, dia lebih berhati-hati semasa mengendalikan mesin pemotong dan walaupun cacat, kedua-dua tangan, dia masih mampu gunakan untuk memegang dan menahan batang kayu ketika proses pemotongan.

Terdahulu, Che Rosli menerima kunjungan aktivis masyarakat Wan Zahari Wan Othman yang menyampaikan sumbangan zakat dan juadah berbuka puasa.

Sumber: Berita Harian

Tags: , , , , , ,

Category: INFORMASI, KELUARGA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *