Takbir Raya Dari Rumah ke Rumah Adalah Tidak Dibenarkan Di Perak | Jabatan Agama Islam Perak (JAPIK) telah menetapkan bahawa takbir raya dari rumah ke rumah adalah tidak dibenarkan di seluruh negeri itu pada sambutan hari raya Aidilfitri.
Menurut Pengarah JAPIK Datuk Mohd Yusop Husin, kenyataan tersebut telah ditetapkan setelah mendapat nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Perak bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di negeri tersebut. Namun begitu, solat berjemaah, solat Jumaat, solat jenazah, solat tarawih dan solat sunat Aidilfitri juga dibenarkan di kawasan-kawasan berkenaan, mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.
Mengikut pekeliling yang diedarkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Jemaah masjid dan surau di seluruh negeri, tetapan bilangan jemaah yang diberikan adalah sebanyak 120 orang di semua masjid, surau diri Jumaat dan surau di seluruh negeri Perak.
Walau bagaimanapun, bilangan tersebut dikecualikan bagi masjid-masjid negeri dan daerah yang dibenarkan dengan had maksimum 250 jemaah, dan tidak termasuk pegawai masjid dan anggota jawatankuasa kariah dengan jarak fizikal sekurang-kurangnya satu meter antara jemaah.
Menurut Mohd Yusof, jamuan hari raya hanya dibenarkan selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau yang hanya dibenarkan di kawasan PKPP dan PKPB sahaja. Tambahnya lagi, ziarah kubur juga hanya dibenarkan di kawasan PKPB serta PKPP dan terhad kepada enam orang sahaja bagi setiap petak kubur dan tidak melebihi 30 minit.
Selain itu, aktiviti keagamaan di kawasan PKPD adalah tidak dibenarkan sama sekali bagi mengekang penularan -wabak Covid-19 di negeri tersebut.
Sumber: Astro Awani