Thailand Pertingkat Kawalan Di Sempadan Malaysia Menjelang Aidilfitri | Lebih kurang dua tahun pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini berlangsung, pastinya terdapat segelintir rakyat Thailand yang terkandas tidak dapat pulang ke negara asal mereka.
Namun, menjelang Aidilfitri yang bakal tiba beberapa hari sahaja lagi, semestinya mereka akan mencuba untuk mencari jalan agar boleh melepasi sempadan untuk pulang beraya di Thailand.
Narathiwat: Thailand telah mempertingkatkan kawalan di sempadannya dengan Malaysia untuk mencegah kemasukan warga Thailand yang cuba menyelinap masuk ke negara asal mereka ekoran Aidilfitri tidak lama lagi, dalam usaha untuk membendung penularan wabak Covid-19.
Komander Divisyen ke-15 Infantri, Mejar Jeneral Paisal Noosang berkata, pasukan keselamatan akan mempergiatkan rondaan di laluan-laluan tikus dan lokasi panas bagi menyekat warga Thailand yang cuba menyeberangi sempadan secara tidak sah.
Katanya, warga Thailand yang bekerja di Malaysia dijangka akan pulang untuk menyambut hari raya dengan menggunakan laluan tikus untuk memasuki negara Thailand.
“Pasukan keselamatan akan memperketatkan rondaan di sempadan Thailand-Malaysia untuk mengekang kemasukan warga Thailand dan asing secara haram serta mengelakkan diri daripada kuarantin mandatori,” katanya.
Bukan itu sahaja, dalam usaha membendung penularan gelombang ketiga Covid-19, Thailand mewajibkan semua yang memasuki negara ini untuk menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari.
Dalam pada itu, dikatakan lebih 100,000 warga Thailand yang berada di Malaysia dilaporkan telah pulang ke Thailand sejak penularan pandemik Covid-19 dan kira-kira 40,000 hingga 50,000 lagi warga Thailand yang masih berada di Malaysia.
Media tempatan turut melaporkan bahawa pihak berkuasa tempatan telah menahan hampir 16,000 individu yang cuba menyelinap masuk Thailand dari Malaysia, Kemboja, Laos dan Myanmar dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.
Pada Ahad lalu, pihak polis telah menahan 10 warga Myanmar yang dipercayai merupakan pekerja asing tanpa izin yang menaiki dua buah teksi cuba menyelinap masuk ke negara Thailand.
Sumber: Bernama