Tiga Beranak Sambut Ramadan Dalam Stor Kosong | Kisah sedih yang menimpa tiga beranak ini sangat sedih apabila nasib yang menimpa mereka sekeluarga yang menyambut bulan Ramadan dengan hanya berteduh sementara di dalam stor kosong.
GEORGE TOWN: Dua beradik sayu apabila mereka terpaksa menyambut Ramadan dengan berteduh sementara di dalam stor sebuah dewan serbaguna Sungai Ara di sini sejak hampir tiga bulan yang lalu.
Kakak sulung, Nurul Adila Aziz,16, dan adiknya Ammar Haziq, 14, bersama bapa mereka Aziz Ahmad, 58, tinggal di dalam bilik kecil yang hanya beralaskan cadar atau toto sebagai pelapik untuk mereka tidur. Mereka telah ditempatkan di situ ekoran kisah mereka yang tular dalam media sosial Facebook pada Januari lalu di mana mereka tinggal di sebuah bangsal berhampiran persimpangan lampu isyarat di situ.
Nurul Adila berkata, kehidupan mereka telah berubah selepas kematian ibu mereka, Sharifah Hashim akibat penyakit kencing manis dua tahun lalu. Katanya, dia sedih apabila mengenangkan nasib yang menimpa mereka terutama bapanya yang hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan di perumahan flat di Bayan Lepas.
Tambahnya lagi, dia dan adiknya tidak sanggup untuk meneruskan kehidupan mereka dalam keadaan serba kekurangan apatah lagi dalam bulan Ramadan yang mulia ini. Bagi mereka, ini adalah kali pertama mereka menghadapi bulan puasa dalam keadaan yang serba kekurangan.
“Saya dan adik terpaksa kuat demi melihat bapa gembira biarpun kami amat sedih dengan apa yang berlaku termasuk kehilangan ibu tercinta,” ujarnya.
Nurul Adila memberitahu, keadaan bilik mereka yang sempit dan kosong itu membuatkan mereka tidak selesa termasuk untuk mengulang kaji pelajaran. Mereka juga pernah tidak hadir ke sekolah beberapa hari kerana tidak dapat menyiapkan tugasan yang diberi dan pakaian mereka yang tidak sempat kering.
Sementara itu, Aziz berharap ada pihak yang dapat membantu mereka dengan menyediakan kediaman yang lebih selesa dan selamat untuk anak-anaknya.
Aziz berkata, dia hanya bekerja syif pada waktu malam dari pukul 8 malam hingga 8 pagi dengan menerima gaji bulanan sebanyak RM 1,500. Pendapatan itu baginya tidak mampu untuk membayar sewa sebuah rumah kecuali bilik kecil pada harga RM 250.
Aziz yang berasal dari Sungai Ara itu memberitahu, sebelum kematian isterinya, mereka sekeluarga tinggal di Kedah dan kemudiannya berpindah semula ke negeri ini. Ujarnya, sebelum ini dia dan arwah isterinya pernah mengusahakan sebuah kedai minuman di sini dan memiliki sebuah kediaman sendiri di flat berhampiran.
Bagaimanapun, disebabkan masalah kewangan yang dihadapinya, rumah kos rendah itu terpaksa dilelong oleh pihak bank disebabkan gagal membayar hutang bualanan.
Terdahulu, Aziz turut dikunjungi Pengerusi Surplus Pulau Pinang, Sophian Mohd. Zin dan Timbalan Yang Dipertua Persatuan Anak Jati Melayu Pulau Pinang, Jaafar Osman.
Sumber: Kosmo