ALOR SETAR: Tiga beranak melecur selepas kereta yang dinaiki mereka meletup dan terbakar berhampiran sebuah premis di Taman Industri Ringan Sri Mergong, Lorong Perak 22, di sini hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Abdul Rahim Che Omar, berkata mangsa berusia di antara lima hingga 54 tahun.
Katanya, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima panggilan kecemasan kebakaran kenderaan jenis Proton Wira di lokasi kejadian pada jam 12.31 tengah hari.
“Jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dikejarkan ke lokasi kejadian sambil dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Berjaya.
“Setibanya di lokasi, pasukan operasi menemui sebuah kereta terbakar pada bahagian dalam yang membabitkan tiga mangsa.
“Difahamkan, pemandu kereta itu melecur 80 peratus dan isterinya melecur 30 peratus manakala anak mereka melecur hampir 95 peratus.
“Tindakan pihak bomba adalah memastikan api dipadamkan sepenuhnya. Hasil maklumat, kebakaran itu mulanya dipadam orang awam serta pemilik kedai berdekatan menggunakan alat pemadam api,” katanya.
Abdul Rahim berkata, ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Beliau berkata, setakat ini punca kebakaran itu masih dalam siasatan dengan kereta Proton Wira itu dianggarkan musnah kira-kira 60 peratus.
Sumber : BH
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Seorang Wanita Warga Emas Ditemui Rentung Terperangkap Dalam Rumah Terbakar
MUKAH – Seorang wanita warga emas berusia 80 tahun ditemukan rentung setelah terperangkap dalam rumah yang terbakar di Kampung Tutus Ulu, Jalan Mukah – Balingian pada tengah malam semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kebakaran kira-kira pukul 12.04 malam dan segera menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah ke lokasi.
“Maklumat awal daripada pemanggil terdapat mangsa dalam rumah tersebut.
“Mangsa kemudian dijumpai rentung di bawah runtuhan rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Menjelas lanjut, rumah didiami seramai enam orang itu telah terbakar 90 peratus.
Namun, beliau berkata seorang lelaki warga emas, tiga lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa berjaya keluar menyelamatkan diri manakala mangsa terperangkap.
Katanya, pasukan bomba kemudian melakukan pemadaman menggunakan sumber air dari pili bomba dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada pukul 1.57 pagi.
Tambahnya jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Sumber : KMN