Tiga individu telah ditahan pihak polis dan akan didakwa berhubung kematian pelakon terkenal Thailand, Tangmo Nida Patcharaveerapong yang mati selepas terjatuh dalam sungai, Februari lalu.
Bangkok Post melaporkan, pada Ahad, seorang wanita berusia 35 tahun ditahan di Balai Polis Muang di daerah Muang di Nonthaburi, Bangkok.
Dia akan didakwa atas tuduhan kecuaian sehingga menyebabkan kematian Tangmo, 37.
Wanita itu merupakan salah seorang daripada lima individu yang menaiki bot laju bersama Tangmo, ketika dia terjatuh ke dalam Sungai Chao Phraya pada malam 24 Februari.
Mayatnya ditemui dua hari kemudian, tidak jauh dari tempat dia terjatuh.
Pihak berkuasa berkata, wanita berkenaan menjadi orang ketiga yang menghadapi pertuduhan yang sama.
Sebelum ini, dua individu lain turut ditahan dan akan didakwa atas pertuduhan sama, mereka ialah pemilik bot dan pemandu bot yang dinaiki Tangmo ketika kejadian.
Pada Sabtu, pihak berkuasa memaklumkan, kedua-dua mereka turut akan didakwa atas pertuduhan tambahan iaitu memberi kenyataan palsu dan memusnahkan bukti.
Bangkok Post sebelum ini melaporkan, Jabatan Siasatan Khas (DSI) Thailand sedang mempertimbangkan untuk mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai kes khas.
Perkara itu bagaimanapun akan diputuskan selewat-lewatnya 15 April ini. – Awani
Sumber: Sinar Harian