PETALING JAYA – Tiga lelaki warga tempatan yang melakukan samun berkumpulan dengan menyasarkan rumah berpenghuni telah berjaya dicekup pihak polis, Ahad lalu.
Ketiga-tiga suspek yang berusia lingkungan 26 hingga 35 tahun telah ditahan di Damansara dan juga Petaling Jaya kira-kira pukul 12.30 tengah malam hingga pukul 5.15 petang.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan pada 25 Februari berkenaan kejadian samun berkumpulan di sebuah rumah di Taman Pelangi, Sentul.
“Mangsa merupakan seorang wanita warga tempatan berusia 45 tahun, bekerja sebagai seorang guru. Ketika kejadian mangsa yang berada di dalam bilik telah ditumbuk di muka, dipukul di bahagian leher dan diikat dengan menggunakan wayar.
“Sebuah telefon bimbit, seutas jam tangan, kad bank dan juga wang tunai bernilai RM6,000 kemudian dilarikan suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Eng Lai, hasil siasatan mendapati modus operandi kumpulan itu adalah melakukan samun secara berkumpulan dengan menyasarkan rumah yang berpenghuni.
Sehubungan itu, polis berjaya merampas seutas jam tangan milik mangsa, dan dua buah telefon bimbit pelbagai jenama termasuk serangkai anak kunci, sebuah motosikal dan beberapa helai pakaian yang digunakan oleh suspek ketika kejadian.
“Kesemua suspek didapati mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau dan telah direman di Ibu Pejabat Daerah Sentul bermula Ahad lepas sehingga hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
“Berikutan itu, kita berjaya menyelesaikan empat kes di Kuala Lumpur dan satu lagi kes di Selangor,” ujarnya.
Sumber: Kosmo
Baca Juga: Penumpang Samun Pemandu Teksi
Polis menahan dua lelaki yang juga penumpang teksi selepas disyaki menyamun pemandu dalam kejadian dekat Tokong Thai San Kong, Pengerang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, berkata kedua-dua suspek lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an itu menaiki teksi berkenaan dari Gelang Patah ke Pengerang.
Pada jam 3.50 petang, dua suspek itu menaiki teksi dipandu lelaki berusia 70-an. Kira-kira jam 4.30 petang, ketika tiba berhampiran tokong berkenaan, suspek mengacukan senjata iaitu pisau lipat ke belakang pinggang mangsa.
Katanya hari ini bahawa suspek kemudian mengarahkan mangsa menyerahkan barang berharga dan sebelum mereka melarikan diri ke kawasan semak berhampiran.
Beliau berkata, mangsa membuat laporan di Balai Polis Pengerang pada jam 4.53 petang anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi berjaya melakukan tangkapan ke atas dua suspek dalam semak berhampiran dalam tempoh tidak lebih empat jam selepas kejadian.
Hussin berkata, dalam kejadian itu, dua unit telefon bimbit jenama Nokia, wang tunai RM400 dan seutas jam tangan jenama Casio yang keseluruhannya bernilai RM800 berjaya dilarikan suspek, bagaimanapum semua barangan itu berjaya dirampas semula daripada suspek.
Katanya bahawa hasil pemeriksaan lanjut ke atas tubuh badan kedua-dua suspek mendapati terdapat tatu berbentuk labah-labah dan lipan pada bahagian dada kiri serta lengan kanan pada seorang daripada meraka dan dia disyaki adalah ahli kumpulan kongsi gelap Geng 08.
Menurut Hussin, ujian saringan awal air kencing ke atas kedua-dua suspek pula mendapati mereka negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.
Katanya, hasil semakan rekod lampau ke atas kedua-dua suspek mendapati masing-masing memiliki rekod jenayah dan dadah termasuk seorang suspek masih dikehendaki membabitkan dua kes jenayah yang dilaporkan di Serendah pada 2022 dan Rawang pada 2010.
Katanya, kedua-dua saspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.
Sumber: KMN