Mayat tiga sekeluarga yang telah reput membusuk ditemukan pada hari Rabu di dalam sebuah rumah di California.
Penemuan mengejutkan itu berlaku selepas penguatkuasa undang-undang melawat komuniti berpagar sekitar jam 10.30 pagi untuk pemeriksaan kebajikan, kata polis.
“Ahli keluarga penduduk rumah itu melaporkan kepada pihak berkuasa Kanada bahawa mereka tidak dapat menghubungi keluarga itu selama lebih dari setahun dan menjadi bimbang,” kata detektif Jabatan Polis Irvine dalam siaran berita.
Selepas pegawai Kanada dihubungi, mereka turut menghubungi Jabatan Polis Irvine.
Menurut kenyataan polis, seorang bapa, ibu, dan seorang anak lelaki dewasa tinggal di kediaman itu.
Sebaik sahaja tiba di rumah, pegawai polis mendapati tiga mayat yang kelihatan seperti orang dewasa telah reput.
Pegawai polis mengatakan bahawa sepucuk pistol ditemui di dalam rumah.
Tidak ada tanda-tanda pecah masuk, kata penyiasat, dan mereka tidak mencari mana-mana suspek.
“Terdapat beberapa petunjuk yang menunjukkan insiden ini melibatkan masalah rumah tangga yang mengakibatkan bunuh diri,” kata polis.
Tiada butiran lanjut diberikan serta pihak polis mengatakan mayat mungkin telah berada di dalam rumah selama lebih kurang 18 bulan.
Mereka sedang menyiasat bagaimana kes itu tidak dilaporkan setelah sekian lama terjadi.
“Seperti yang diketahui, persatuan pemilik rumah bertanggungjawab dalam beberapa penjagaan laman dan penyelenggaraan rumput untuk bahagian di hadapan rumah,” kata Polis Irvine, Lt Bill Bingham.
“Sekilas pandang, rumah itu langsung tidak kelihatan seperti seseorang tidak masuk dan keluar dari rumah lebih dari setahun”, katanya lagi.
Sumber: The Sun