“Ibu masih takut, selepas sebuah lori treler terbabas dan merempuh tembok dan dapur rumah pada petang Jumaat,” kata Nurul Hassan, 37.

Menurut Nurul, dia dan ibunya Rusilah Jaafar, 76, bernasib baik kerana ketika kejadian pada jam 5.30 petang itu mereka tiada di rumah kerana ke bazar Ramadan membeli juadah berbuka puasa.

Katanya, motosikal, kereta dan lori yang terbabas kerap merempuh rumahnya yang terletak bersebelahan selekoh jalan Kampung Ulu Pulai yang kini menjadi laluan utama antara daerah Pontian dan Iskandar Puteri.

“Ini bukan kali pertama rumah saya dirempuh kenderaan. Sudah lebih 10 kali selepas tembok penghadang mula dibina pada 2014. Kejadian rempuhan kerap berlaku pada waktu siang terutama membabitkan lori treler.

“Setiap kali insiden rempuhan berlaku, dinding akan retak. Masih banyak kesan retakan dinding di dapur dan bilik. Tidak mampu kami hendak baiki sepenuhnya, apa yang mampu dan perlu sahaja kami buat dahulu,” katanya ketika ditemui pada Isnin.

Nurul yang bekerja sebagai peniaga online berkata, setiap kali berlaku insiden rempuhan berlaku, dia sekeluarga kerap dijanjikan bayaran ganti rugi namun tidak pernah memperolehnya.

“Lepas rumah dirempuh, tidak kira kereta atau lori, pemandunya beritahu akan bayar ganti selepas tuntut insurans. Kami pun tunggu, tapi kebanyakkannya tidak ditunaikan dan hilang begitu sahaja.

“Kami sekeluarga sayang rumah ini memandangkan sudah didiami sejak tahun 1992,” katanya.

Nurul yang merupakan anak bongsu dari lapan adik beradik berkata, dia kini menjaga ibunya setelah kematian bapanya pada Mac tahun lalu.

Katanya, disebabkan kerap kali berlaku kejadian rempuhan, ibunya trauma dan tidak dapat melelapkan mata pada waktu malam.

Disebabkan itu, dia bersama ibunya akan bermalam di rumah kakaknya, Roslinda Hassan, 51, di kampung yang sama bagi mengelakkan sebarang kemungkinan.

“Saya agak kesal dengan sikap pemandu yang cuai sehingga membahayakan keselamatan walaupun papan tanda amaran kemalangan telah dipasang pihak berwajib.

“Malah tembok penghadang yang dibina juga turut dilanggar. Sepatutnya pengguna jalan mematuhi had laju memandangkan kawasan di sini merupakan kawasan kampung dan bukannya memandu laju seperti di lebuh raya,” katanya.

Sumber : SH

 

ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA

[VIDEO] Warga Emas Cedera, Kereta Rempuh Dinding Sebab Brek Tersangkut

Gombak: Warga emas cedera ringan selepas kenderaannya melanggar dinding tempat letak kenderaan di sebuah pangsapuri di Desa Jaya, di sini, Khamis lalu.

Kejadian berlaku pada 7.30 malam dipercayai berlaku akibat pedal minyak tersangkut pada karpet alas kaki menyebabkan kenderaan itu tidak dapat berhenti.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, hasil siasatan mendapati kejadian membabitkan lelaki warga emas berusia 67 tahun yang memandu kereta Nissan Sentra di kawasan letak kenderaan apartment terbabit.

“Bagaimanapun pemandu terbabit gagal memberhentikan keretanya kerana pedal minyak tersangkut pada karpet alas kaki dan melanggar dinding tempat letak kenderaan itu.

“Pemandu terbabit mengalami cedera ringan dan kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Azamil Makmor di talian 019-6004104 atau di talian 03-61262222.

Sumber : KMN

Share.

Leave A Reply