Trend Berbuka Puasa Di Tempat Umum Dilarang Di Terengganu| Aktiviti berbuka puasa di tempat awam secara beramai-ramai seolah-olah telah menjadi ‘trend’ masyarakat muslim di Malaysia. Mereka akan berkumpul secara berkumpulan dan menjalankan aktiviti berbuka puasa secara terbuka di kawasan lapang, taman awam dan kawasan tepi pantai. Aktiviti ini kian menjadi ikutan sejak beberapa tahun yang lalu.
Sejak pandemik covid-19 melanda dunia pada setahun yang lalu, banyak aktiviti telah dilarang untuk dilaksanakan. Namun pada bulan ramadan tahun ini, telah banyak aktiviti sepertimana tahun sebelum ini dibenarkan untuk dilaksanakan semula. Setiap perlaksanaan itu haruslah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Namun Kerajaan Negeri Terengganu telah mengeluarkan larangan kepada penduduk negeri itu untuk melaksanakan aktiviti berbuka puasa di tempat awam. Aktiviti berbuka puasa di kawasan taman, padang dan seangkatan dengannya tidak dibenarkan sama sekali.
Setiausaha Bahagian (Kerajaan Tempatan) negeri, Yusaini Amir Mohamad Nor berkata, larangan itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Khas (Pengurusan Darurat dan Pandemik) Negeri Terengganu semalam.
Menerusi mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersetuju untuk tidak membenarkan rakyat di negeri itu melaksanakan aktiviti berbuka puasa di kawasan lapang, taman awam dan tepi pantai di seluruh negeri.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta untuk membuat hebahan, pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan PBT masing-masing. Setiap kali Ramadan, kawasan tumpuan awam seperti Pantai Batu Buruk, kawasan berhampiran Jambatan Angkat Kuala Terengganu dan Dataran Shah Bandar di Kuala Terengganu antara lokasi yang menjadi tumpuan penduduk sekitar daerah ini untuk berbuka puasa.
Sumber: Berita Harian