Tujuh Individu Dalam Salon Dikompaun Kerana Langgar SOP | Prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan adalah bertujuan untuk mengurangkan risiko jangkitan wabak Covid-19 menular dengan cepat. Namun, terdapat segelintir dari masyarakat yang masih memandang remeh mengenai kepentingan penjagaan SOP.

Tujuh Individu Dalam Salon Dikompaun Kerana Langgar SOP

Sitiawan: Tujuh individu dikompaun termasuk tiga penagih dadah ditahan kerana ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di sebuah salon di sini, semalam.

Kesemua mereka didapati melakukan kesalahan itu selepas dikesan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) dan Team Task  Force Covid-19 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mahjung yang menjalankan pemeriksaan terhadap premis berkenaan pada 1 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, hasil pemeriksaan didapati tiga lelaki berusia 23 hingga 31 tahun itu masing-masing didapati memiliki satu bungkusan dadah.

“Pemeriksaan yang dijalankan terhadap suspek pertama menjumpai satu paket plastik lut sinar berisi heroin seberat 2.3 gram (g), suspek kedua memiliki methamphetamine seberat 2.2 g dan suspek ketiga juga ditemui methamphetamine seberat 0.45 g.

“Ketika serbuan juga mendapati ada tiga lagi lelaki dan seorang wanita berada dalam premis berkenaan, namun pemeriksaan tidak menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang pada mereka,” katanya.

Menurut beliau, hasil semakan yang dijalankan mendapati seorang daripada suspek mempunyai empat rekod kesalahan lampau membabitkan kes dadah manakala ujian saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga lelaki itu positif methamphetamine.

Katanya, ketiga mereka ditahan mengikut  Seksyen 39A (1), Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk siasatan lanjut.

Jelasnya, pihaknya turut mengeluarkan tujuh kompaun kepada pemilik premis dan enam individu yang berada di dalam salon berkenaan.

Pemilik premis salon itu dikompaun sebanyak RM2,000 kerana telah menjalankan perniagaan bukan perkhidmatan perlu, manakala enam lagi individu telah dikompaun sebanyak RM1,500 setiap seorang kerana tidak menjaga penjarakan fizikal.

Tambahnya, kompaun dikeluarkan mengikut Langkah Pencegahan (Peraturan 17) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (No.4).

Sumber: Metro

Share.

Leave A Reply