Tular Video Lagi Satu ‘Inspektor Garang’ Gaduh Di Parking Lot | Pegawai polis wanita yang dirakam menghina anggota bawahan sebelum klip video insiden itu tular sejak Khamis lalu, ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak berhubung dua kertas siasatan yang dibuka terhadapnya.
Hina Polis Bawahan
Wanita berpangkat inspektor itu ditahan ketika hadir di IPD berkenaan untuk dirakam percakapan berkait siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pegawai itu dipanggil kali pertama semalam ke IPD berkenaan berhubung insiden pertengkaran dengan dua anggota polis di Taman Sri Gombak, Batu Caves, Khamis lalu dan hari ini, sekali lagi dia hadir di IPD sama.
“Semalam dia dipanggil (ke IPD Gombak) dan hari ini, dia ditahan di IPD berkenaan berhubung dua kertas siasatan yang dibuka terhadapnya,” katanya ketika dihubungi BH, kelmarin.
Hussein memaklumkan, pegawai itu disiasat atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan menggunakan perkataan kurang sopan, aib atau menghina.
Bergaduh Di Tempat letak Kereta
Dalam perkembangan berkaitan, satu lagi klip video tersebar membabitkan pegawai polis sama yang bertengkar dengan orang awam di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Brickfields.
Susulan kejadian dipercayai sekitar jam 5.30 petang kelmarin itu, seorang wanita membuat laporan di IPD Brickfields, antara lain mendakwa pegawai berkenaan memarahinya dan keluarga selain turut menuding jari ke arah kepalanya.
Dalam klip video terbaharu yang tular sejak semalam itu, pegawai terbabit dilihat turut merakam orang awam berkenaan dengan telefon bimbitnya, malah didakwa hampir tercetus kejadian tidak diingini, namun sempat dihalang orang ramai di lokasi.
Sumber : BH
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Seorang Lelaki Pukul Ibu Saudara Guna Cangkul Kerana Berebut Tanah
MELAKA: Seorang pengacara majlis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap ibu saudaranya dengan menggunakan cangkul kerana berebut tanah dalam satu kejadian minggu lalu.
Tertuduh, Johari, 48, berstatus pemastautin tetap dengan kad pengenalan merah, meminta dibicarakan sejurus dibacakan dan diterangkan mengenai pertuduhan itu kepadanya di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Jalilah Jalal, 60, dengan menggunakan cangkul, yang boleh menyebabkan kematian mangsa.
Perbuatan itu dilakukan di hadapan rumah di Lot 672 Batu 6 1/2 Jalan Daeng Tawi Telok Mas, pada 10 Jun lalu, kira-kira jam 5 petang.
Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan denda atau sebat, jika disabitkan.
Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nur Nadia Mohamed Iqbal yang menjalankan pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin.
Mangsa Mengalami Cedera Parah
Beliau juga meminta mahkamah mengambil kira kecederaan dialami mangsa yang disahkan doktor iaitu cedera dan pendarahan pada otak, patah tulang pipi, dagu, tangan kiri dan rusuk serta pendarahan mata hingga dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Melaka.
“Keadaan mangsa kritikal sehingga terpaksa ‘ditidurkan’ serta memerlukan alat bantuan pernafasan sehingga kini.
“Tertuduh dan mangsa mempunyai hubungan saudara dan tinggal berdekatan, justeru pendakwaan tidak menawarkan jaminan bagi mengelakkan pertelingkahan berpanjangan antara keluarga mereka,” katanya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam, bagaimanapun berhujah panjang lebar memohon diberikan ikat jamin dengan alasan perlu menanggung isteri serta empat anak dan mendakwa kejadian berlaku kerana ingin mempertahankan anak-anaknya.
Dia juga mendakwanya pertelingkahan sudah lama berlaku dan ibu saudaranya itu menghidap penyakit dan hampir gila.
Selepas meneliti hujah kedua-dua pihak, mahkamah memutuskan tidak membenarkan jaminan dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 18 Julai depan.
Sumber : KMN