Tunaikan Umrah, Arab Saudi Benarkan Negara Terpilih Hantar Jemaah

| September 27, 2020 | 0 Comments

Tunaikan Umrah, Arab Saudi Benarkan Negara Terpilih Hantar Jemaah | Riyadh: Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Muhammad Saleh Benten mengumumkan Kementerian Kesihatan akan memilih negara yang akan dibenarkan menghantar jemaah untuk menunaikan umrah.

Pengumuman itu susulan kenyataan Kementerian Dalam Negeri berhubung keputusan kerajaan yang akan mengizinkan pelawat umrah asing memasuki Tanah Suci pada fasa ketiga penyambungan semula ibadat umrah yang ditangguhkan, mulai 1 November.

Dalam wawancara televisyen dengan saluran Al-Ekhbariya, Benten mengatakan terdapat laluan elektronik khas khusus untuk kedatangan dan keberangkatan jemaah haji asing untuk menunaikan haji tahun depan.

Merujuk kepada penyambungan semula ibadat umrah untuk jemaah domestik yang berkuat kuasa mulai 4 Oktober, menteri itu mengatakan hanya 12 kumpulan jemaah yang akan dibenarkan menunaikan umrah dalam masa 24 jam pada fasa pertama.

“Jemaah akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan akan ditemani seorang profesional kesihatan di Masjidil Haram.

“Hanya jemaah berusia antara 18 hingga 65 tahun yang akan dibenarkan dalam fasa pertama,” katanya.

Benten berkata, tiada bayaran untuk pengeluaran permit umrah akan dikenakan.

“Tidak ada jemaah umrah yang akan dibenarkan masuk ke Masjidil Haram tanpa melengkapkan prosedur masuk melalui aplikasi mudah alih “I’tamarana”.

“Ini bagi memastikan kesihatan dan keselamatan jemaah,” katanya sambil menambah pengaturan alternatif akan dibuat sekiranya terdapat masalah teknikal untuk menyelesaikan prosedur melalui aplikasi.

Warganegara Arab Saudi dan ekspatriat serta keluarga mereka diizinkan memuat turun aplikasi “I’tamarna,” berkuat kuasa Ahad untuk mendaftarkan nama mereka untuk menunaikan umrah serta mengunjungi dan beribadah di Dua Masjid Suci.

Aplikasi ini kini tersedia untuk pengguna di iOS dan Android di telefon pintar mereka tujuh hari sebelum permulaan fasa pertama haji.

Kementerian Dalam Negeri sebelumnya mengumumkan penyambungan semula umrah dan lawatan ke Dua Masjidil Haram secara berperingkat dengan jumlah jemaah yang terhad, mulai 4 Oktober.

Menerusi fasa pertama, warganegara dan ekspatriat di Tanah Suci diizinkan untuk menunaikan umrah dengan kapasiti 30 peratus dari 4 Oktober yang diterjemahkan kepada 6,000 jemaah setiap hari dan itu sesuai dengan tindakan pencegahan kesihatan Masjidil Haram.

Sumber : HMetro

Tags: , , , ,

Category: AGAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *