Selamatkan Nyawa Manusia. Tikus Ini Diberi Pingat Emas Keberanian

| September 27, 2020 | 0 Comments

Selamatkan Nyawa Manusia. Tikus Ini Diberi Pingat Emas Keberanian | PHNOM PENH – Seekor tikus pengesan periuk api menerima anugerah pingat emas keberanian kerana membantu menyelamatkan nyawa manusia, lapor akhbar Standard UK semalam.

Tikus gergasi Afrika bernama Magawa itu membantu menemui 39 periuk api dan 28 lagi jenis bahan ledakan yang masih belum meletup di sini. Tikus itu pernah menerima latihan daripada pertubuhan bukan kerajaan, APOPO.

Magawa dianggap sebagai tikus wira paling berjaya selepas usaha membersihkan kawasan lebih 141,000 meter persegi atau menya­mai saiz 20 padang bola.

Usaha Magawa diiktiraf secara rasmi dan diberi pingat emas PDSA, menjadi tikus pertama menerima anugerah badan amal itu sepanjang tempoh 77 tahun lalu.

“Ini satu penghormatan untuk pelatih-pelatih haiwan kami yang bekerja keras setiap hari, rakyat di Kemboja dan semua individu di dunia yang menderita akibat periuk api,” kata Ketua Eksekutif APOPO, Christophe Cox.

Pengarah Urusan PDSA, Jan McLoughlin berkata, sumbangan Magawa membantu menyelamatkan banyak nyawa daripada ancaman periuk api.

“Dianggarkan ada empat hingga enam juta periuk api ditanam di seluruh Kemboja antara tahun 1975 dan 1998, menyebabkan le­bih 64,000 orang terkorban.

“Kerja yang dilakukan Magawa dan APOPO amat unik dan mengagumkan. Keberanian, kemahiran serta dedikasi Magawa adalah contoh luar biasa dan berhak menerima satu anugerah tertinggi,” katanya.

Magawa turut dilatih untuk mengesan kandungan bahan kimia dalam bahan letupan dan mampu mengesan periuk api jauh lebih pantas berbanding alat pengesan logam.

Tikus itu mampu mencari periuk api di kawasan seluas padang bola dalam tempoh 30 minit. Manusia pula mengambil masa selama empat hari dengan mesin pengesan logam untuk keluasan sama.

Sumber : Kosmo

Tags: , , , , , ,

Category: DUNIA, PELIK

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *