PETALING JAYA – Seorang kanak-kanak melakukan aksi ngeri apabila bertindak berani memanjat pagar besi di balkoni rumahnya dalam kejadian di sebuah pangsapuri yang tidak diketahui lokasi tersebut.
Video kanak-kanak itu memanjat pagar balkoni tular selepas dimuat naik pengguna media sosial sekali gus mengundang kerisauan orang ramai.
Berdasarkan video tersebut, kanak-kanak yang tidak diketahui jantinanya itu memanjat pagar balkoni rumahnya serta ke rumah jiran di sebelah, sebelum berpatah semula ke kediamannya.
Tidak kelihatan orang dewasa di bahagian balkoni rumah kanak-kanak tersebut selain tidak dapat dipastikan aras ketinggian pangsapuri itu.
Malah, kedengaran suara seorang wanita menjerit memanggil ‘adik, adik’ bagi meminta kanak-kanak tersebut turun daripada pagar balkoni.
Menjengah ke ruangan komen, pengguna melahirkan rasa bimbang dengan keberanian kanak-kanak tersebut memanjat pagar balkoni.
“Ya Allah, kalau jatuh. Mana ibu ayah dia,” kata seorang pengguna laman sosial.
“Memang sebaik-baiknya rumah tinggi macam ini, kena ada jeriji atau pagar biar tinggi. Tahun lepas di blok rumah saya, budak jatuh dari tingkat tiga. Nasib baik budak itu patah kaki saja, seram juga,” kongsi seorang lagi netizen.
Sumber: Kosmo
Viral Video Kanak-Kanak Panjat Keluar Tingkap Di Tingkat 16
Tular sebuah video seorang kanak-kanak yang dipercayai dibiarkan secara berbahaya di sebuah tingkap kondominium di Johor Bahru pada Khamis, 6 Oktober 2022.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru, Raub Bin Selamat berkata dalam satu kenyataan hari ini, kejadian tersebut berlaku di sebuah kondominium di Larkin melibatkan seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun pada Rabu, 5 Oktober 2022.
“Kanak-kanak tersebut dikatakan bermain di luar tingkap tingkat 16 di kondominium itu tanpa pengetahuan bapa saudaranya dan ahli keluarga yang lain.
“Semasa kehadiran pihak polis di tempat kejadian, pihak kami mendapati kanak-kanak tersebut telah tiada di rumah dan dikatakan telah mengikuti bapanya pulang ke rumah mereka di Pasir Gudang,” jelasnya.
Dalam pada itu, pihak polis IPD Johor Bahru Selatan telah memberikan nasihat kepada ahli keluarga kanak-kanak itu bagi tujuan langkah-langkah keselamatan agar kejadian seperti itu tidak akan berulang.
“Pihak polis menasihatkan kepada ibu bapa dan ahli keluarga supaya memantau tingkah laku atau aktiviti anak-anak supaya tidak berlaku kejadian yang tidak diingini,” jelasnya lagi.
Disamping itu, orang rami juga dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian tersebut.
Sumber: KMN