Ubah Suai Rumah Bentuk ‘Kuil’, Netizen Persoal Kenapa Pihak Berkuasa Lambat Bertindak | SEREMBAN: Majlis Bandaraya Seremban (MBS) menerusi Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaannya akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya terhadap pemilik rumah yang didapati mengubah suai kediaman tanpa kelulusan di Taman Surian, Mantin di sini seperti yang tular di media sosial semalam.

Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali berkata, pihaknya telah mengeluarkan notis arahan dan sitaan di tapak binaan sebanyak tiga kali kepada pemilik bangunan bagi memberhentikan kerja-kerja binaan dan merobohkan binaan tambahan tersebut.

“Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan MBS akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya ke atas kes ini kerana keingkaran pemilik mematuhi notis yang telah dikeluarkan.

“Majlis memandang serius atas kerja-kerja pengubahsuaian tanpa kelulusan ini. Sebarang kerja-kerja pengubahsuaian bangunan hendaklah mendapatkan kelulusan daripada majlis terlebih dahulu.

“Lebih-lebih lagi dalam menjaga aspek keselamatan dan mengelakkan gangguan ketenteraman awam yang boleh mencetuskan sensitiviti warga bandar raya yang berbilang kaum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Masri berkata, segala tindakan yang diambil adalah bertujuan bagi menyejahterakan keharmonian warga bandar raya.

Semalam tular di media sosial, dakwaan seorang penduduk berhubung pembinaan rumah tanpa kelulusan di sebelah rumahnya di Taman Surian, Mantin di sini yang boleh menimbulkan rasa tidak selesa penghuni lain di taman perumahan berkenaan.

Sementara itu di bahagian komen berhubung laporan berkenaan di laman Facebook, rata-rata mempersoalkan tindakan pihak berkuasa.

Mereka menyifatkan tindakan tersebut seolah-olah tidak adil.

SUMBER : Utusan

Share.

Leave A Reply