Melecur teruk selepas penyala ‘hot pot’ meletup, seorang pemuda mendakwa hanya dibayar pampasan sebanyak RM3,000 oleh pemilik sebuah restoran di Kuala Lumpur dalam kejadian yang berlaku tahun lalu.
Menurut Jason Chiu dalam satu hantaran di Facebook, ketika dia dan keluarga sedang menikmati hidangan di restoran itu pada malam 11 September lalu, dua daripada empat sumber api bagi ‘hot pot’ tersebut padam dan kemudiannya dibantu seorang pelayan.
“Bekas gel itu menyala semula tetapi tidak lama kemudian, dua lagi turut terpadam tetapi pelayan lain datang bantu dan menggoncang bekas gel dengan kuat sehingga menyebabkannya terbakar.
“Api menyambar muka, belakang saya ketika itu dan ayah serta ibu bantu padamkan,” katanya.
Namun katanya, pekerja mereka hanya berdiri di situ selama lima minit pertama, sebelum seorang daripadanya mendapatkan alat pemadam api untuk memadam kebakaran.
Mereka sekeluarga kemudiannya dihantar ke hospital ekoran kejadian tersebut dan dimaklumkan pemilik restoran bahawa mereka akan bertanggungjawab ke atas kos perubatan yang dikenakan.
“Keluarga memutuskan untuk menggunakan insurans sendiri terlebih dahulu untuk memastikan mereka akan mendapat rawatan secepat mungkin dan saya mengalami kebakaran tahap dua dengan tempoh sebulan untuk pulih.
“Pada Oktober, saya kembali dan cadangkan pelan pampasan namun pemilik restoran meminta tempoh seminggu.
“Kami sedar mereka sengaja melengah-lengahkan tetapi melihatkan mereka ikhlas jadi kami pilih selesaikan secara tertutup. Namun sebulan kemudian kami menerima notis mengatakan permohonan kami ditolak,” katanya.
Menurutnya lagi, mereka hanya menawarkan pampasan yang tidak munasabah iaitu pakej RM3,000 berupa wang tunai RM2,000 dan baucar kedai mereka RM1,000,” katanya.
Katanya, yuran pengajiannya juga kini berjumlah RM10,000 kerana tidak hadir selama sebulan dan pakaiannya berharga sekitar RM500 manakala gaji bekerja sambilan berjumlah RM5,000.
“Kami telah gunakan saluran undang-undang untuk keadilan. Apa yang kami mahu bukan wang tapi keadilan,” katanya.
Sumber : Kosmo
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Terkejut Jumpa Kain Buruk Dalam Hidangan ‘Hotpot’
Seorang lelaki di China menggesa pihak kerajaan untuk menjalankan siasatan, selepas dirinya menjumpai perca kain buruk dalam set hotpot yang dibelinya Rabu lalu.
Lelaki yang dikenali sebagai Ning mengungkapkan rasa terkejut apabila dia menjumpai sekeping kain berwarna gelap dalam makanan yang dibelinya dari sebuah restoran hotpot di Chengdu, wilayah Sichuan yang terletak di barat daya China, ketika ditemubual pihak Feidian Video.
Pada asalnya, Ning menyangka bahawa objek itu adalah sekeping daging lembu dan ia merupakan salah satu bahan masakan lazim untuk hidangan hotpot di Sichuan.
Ning mengimbas bahawa ketika mereka sedang menikmati juadah tersebut, tiba-tiba dia terjumpa objek yang bentuknya seakan-akan daging. Dia cakap, mungkin mereka boleh memotongkan kepada beberapa bahagian yang lebih kecil.
Ning berkata lagi, kemudian, mereka menyedari ada sesuatu yang tidak kena. Dua rakan sekerjanya cepat-cepat memuntahkannya semula.
Pengurus di restoran hotpot tersebut memberitahu pihak South China Morning Post melalui telefon pada Khamis lepas, berkenaan insiden terbabit.
Dia berkata, insiden tersebut berpunca daripada kecuaian pekerjanya, yang difahamkan kurang sihat pada masa itu.
Kata pengurus tersebut bahawa pekerjanya berusia hanya 19 tahun dan baru sahaja bekerja di sini. Ketika menyiapkan pesanan tersebut, pekarja itu sedang mengalami demam ringan.
Pengurus itu bertambah, mereka telah memecat pekerja tersebut tetapi akan membayar gajinya. Mereka telah menutup kedai untuk tujuan pembersihan dan bercakap dengan pelanggannya tentang pampasan.
Ning berkata, dia telah memesan dua set hotpot dengan harga 213 yuan (RM136.70), untuk dirinya bersama lima rakan sekerja yang lain.
Katanya, dia pada mulanya teragak-agak seketika sebelum makan apabila melihat dua kuah tersebut memiliki warna yang berbeza.
Mereka membuat keputusan untuk makan sahaja dan menganggap ia merupakan kuah yang salah.
Kemudian, ketika Ning menelefon pihak restoran mereka mengaku bahawa objek tersebut adalah kain buruk yang termasuk ke dalam periuk kuah ‘hotpot’ secara tidak sengaja.
Untuk makluman, pihak restoran tersebut telah menawarkan pampasan dengan nilai tiga kali ganda daripada jumlah bil Ning, tetapi lelaki tersebut menolak tawaran pampasan tersebut.
Ning mengujar bahawa apa yang dia nak adalah meminta kerajaan untuk menyiasat kes ini.
Pengalaman Ning menyebabkan ramai pengguna Internet terkesima walaupun isu mengenai keselamatan dan kebersihan makanan sering berlaku dalam negara tersebut.
Seorang warganet memberi komen di Weibo bahawa, “Dia punya rasa saspens tu, sama macam tengok filem seram.”
Sumber: KMN