Insiden pergaduhan antara seorang penghantar makanan bersama sekumpulan individu yang tular di media sosial adalah dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati akibat bunyi bising muzik.

Pendedahan tersebut dibuat oleh seorang individu di laman sosial yang memaklumkan sebelum berlaku insiden tersebut, dia bersama ahli keluarganya telah mengadakan satu majlis hari keluarga di sebuah resort di Batu Pahat, Johor.

Jelas individu tersebut, keluarganya telah menempah keseluruhan kawasan resort terbabit dan pihak pengurusan juga mengesahkan tempahan yang dibuat selama tiga hari dua malam.

Tambahnya, pihak pengurusan tempat tersebut turut memaklumkan bahawa orang ‘luar’ tidak dibenarkan masuk.

“Pada hari kedua kami ada buat sukaneka, muzik pula dipasang agak kuat. Ketika itu ada seorang mak cik datang bersama anaknya mandi kolam, tetapi kami biarkan.

“Namun selepas itu, wanita tersebut seolah-olah tidak berpuas hati dengan bunyi bising tersebut sebelum memarahi kami supaya memperlahankan bunyi muzik. Padahal kami telah sewa ‘full’ tempat tersebut,” kata individu tersebut.

Tambahnya, wanita dan anaknya kemudian meninggalkan tempat tersebut dalam keadaan marah.

“Selang 10 minit wanita tersebut datang bersama seorang rider dan terus membuat kacau di majlis kami seperti gangster. Rider tersebut turut bertanya siapa yang kacau isteri dia.

“Dalam situasi agak tegang itu, rider tersebut cuba menghayunkan topi keledar ke arah ayah saya, namun sempat ayah tahan perbuatan lelaki terbabit,” ujarnya

Jelas individu tersebut, video yang viral itu sudah di sunting semula kerana video terbabit asalnya panjang dan babak rider cuba menghayun topi keledar ke arah ayahnya juga telah dipotong.

Sumber : Kosmo

 

ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA

Wanita Mengandung Pukul Rakan Dengan Gelas Kaca Didenda

SEREMBAN – Tindakan seorang wanita sarat mengandung memukul bekas rakan sekerja dengan gelas kaca membawa padah apabila didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini pada Selasa.

Majistret Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam menjatuhkan hukuman itu terhadap Nur Shahirah Choo Fui Tze Chen, 40, selepas dia mengaku bersalah atas kertas pertuduhan dibacakan.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara lapan bulan jika gagal menjelaskan denda tersebut, namun mangsa telah menjelaskan denda itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada seorang wanita berusia 39 tahun menggunakan gelas kaca.

Kesalahan itu dilakukan pada jam 11.15 pagi di sebuah restoran di Kemayan Square di Seremban, 6 Disember 2022.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A akta sama.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara 10 tahun atau dengan denda, sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, P A Krishnaveni merayu hukuman rendah diberikan terhadap tertuduh yang bukan saja ibu kepada seorang anak berusia 13 tahun tetapi juga sedang mengandung sembilan bulan.

Katanya, tertuduh benar-benar menyesal atas perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd Azman memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal yang boleh memberi pengajaran.Mengikut fakta kes, ketika mangsa sedang berbual di telefon dengan bapa saudaranya, kepalanya telah dipukul dengan gelas kaca berkali-kali dari arah belakang oleh tertuduh yang merupakan bekas rakan sekerjanya di sebuah pusat refleksologi.

Insiden itu mengakibatkan mangsa mengalami bengkak pada bahagian kepala, luka di dahi dan patah ibu jari tangan kiri selain menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply