SEREMBAN – Tindakan seorang wanita sarat mengandung memukul bekas rakan sekerja dengan gelas kaca membawa padah apabila didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini pada Selasa.

Majistret Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam menjatuhkan hukuman itu terhadap Nur Shahirah Choo Fui Tze Chen, 40, selepas dia mengaku bersalah atas kertas pertuduhan dibacakan.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara lapan bulan jika gagal menjelaskan denda tersebut, namun mangsa telah menjelaskan denda itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada seorang wanita berusia 39 tahun menggunakan gelas kaca.

Kesalahan itu dilakukan pada jam 11.15 pagi di sebuah restoran di Kemayan Square di Seremban, 6 Disember 2022.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A akta sama.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara 10 tahun atau dengan denda, sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, P A Krishnaveni merayu hukuman rendah diberikan terhadap tertuduh yang bukan saja ibu kepada seorang anak berusia 13 tahun tetapi juga sedang mengandung sembilan bulan.

Katanya, tertuduh benar-benar menyesal atas perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd Azman memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal yang boleh memberi pengajaran.

Mengikut fakta kes, ketika mangsa sedang berbual di telefon dengan bapa saudaranya, kepalanya telah dipukul dengan gelas kaca berkali-kali dari arah belakang oleh tertuduh yang merupakan bekas rakan sekerjanya di sebuah pusat refleksologi.

Insiden itu mengakibatkan mangsa mengalami bengkak pada bahagian kepala, luka di dahi dan patah ibu jari tangan kiri selain menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban.

Sumber: Sinar Harian

Baca Juga: Lelaki Positif Dadah Halusinasi Hingga Pukul Pelajar 17 Tahun

SHAH ALAM – Seorang lelaki diberkas dipercayai mengamuk sebelum memukul seorang pelajar sekolah swasta warga Filipina dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian berlaku di lobi pusat beli-belah tersebut ketika mangsa sedang menyiapkan litar permainan kereta kebal bersama beberapa individu yang lain.

“Mangsa yang berumur 17 tahun itu mengalami kecederaan di kepala akibat dipukul suspek dengan menggunakan peralatan membancuh simen.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Pusat Rawatan Sunway untuk rawatan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, siasatan mendapati mangsa mempunyai dua rekod berkaitan kes dadah.

“Suspek kemudiannya berjaya diberkas dengan bantuan orang ramai sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Ujar Iqbal, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Suspek kini direman empat hari untuk siasatan lanjut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Zulkifli di talian 03-55202222,” katanya.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply