Lelaki Tinggalkan Keluarga Angkat Bilionair, Kembali Ke Pangkuan Keluarga Kandung Multi-milionaire | Kisah seorang lelaki di China yang menjadi keluarga angkat kepada keluarga bilionair dan akhirnya kembali kepada keluarga kandungnya yang juga merupakan multi-millionaire menjadi tular di laman Weibo, lapor Mothership.

Menurut saluran berita China, Jiupai News, Mei Zhiqiang, 27, sebelum ini dianggap sebagai ‘tuan muda yang diculik’ dan ‘dilahirkan untuk menjadi kaya’ selepas dirakam memakai jam tangan Rolex dan memandu Porsche.

Pada Julai 1997, Mei yang berusia sekitar dua tahun ketika itu dilaporkan diculik ketika bermain berhampiran rumahnya.

Dia memberitahu Jiupai bahawa dia telah dijual, pada waktu itu, dia hilang selera makan dan menyebabkan dirinya menjadi sangat kurus.

Kemudian, datuk dan nenek angkatnya mengambil Mei dalam keluarga tersebut.

Mei merupakan satu-satunya anak angkat dalam keluarga angkatnya di mana dia mempunyai dua kakak perempuan dan seorang adik lelaki.

Sejak dari sekolah rendah, Mei mengatakan bahawa dia sudah tahu bahawa dirinya adalah anak angkat dalam keluarga itu.

Bagaimanapun, apabila diminta memberikan beberapa penjelasan, Mei enggan bercakap lebih lanjut.

Selepas menamatkan pengajian di sekolah menengah, Mei berkata bahawa dia memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi.

Jelasnya, bagi individu yang dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga usahawan sepertinya, mereka tidak percaya bahawa pendidikan boleh mengubah nasib seseorang.

Di bawah pengaturan ibu bapa angkatnya, pekerjaan Mei yang pertama adalah di hospital sebelum dia memulakan perniagaan sendiri dalam bidang permainan dan e-dagang.

Dalam tempoh ini, Mei berkata keinginannya untuk mencari ibu bapa kandungnya semakin kuat.

Akhirnya, dia memutuskan untuk menghantar sampel DNA miliknya di Putian di wilayah Fujian sebelum berjaya bertemu semula dengan keluarga kandungnya pada Jun 2022 selepas 25 tahun berpisah.

Selepas Mei diculik pada tahun 1997, ibu bapa kandungnya telah mencarinya selama 20 hari.

Semasa misi pencarian, bapa Mei berkata isterinya hilang selera makan dan perlu diberi cairan intravena (drip).

Walaupun Mei belum ditemui, bapanya berkata mereka sekeluarga akan meraikan hari lahirnya setiap tahun.

Malah, semasa perayaan pertengahan musim luruh, ibu bapa Mei akan menyediakan mangkuk dan penyepit untuk Mei seolah-olah dia berada bersamanya.

Difahamkan, kebiasaannya ahli keluarga akan berkumpul dan menikmati makan malam bersama pada perayaan itu.

Namun, apabila keluarga itu memikirkan tentang anak lelaki mereka yang hilang, mereka akan mula menangis dan hilang selera makan.

Apabila ibu bapa Mei membeli rumah untuk anak-anaknya, mereka juga turut membelikan Mei sebuah rumah dan percaya bahawa Mei akan kembali suatu hari nanti.

Mei memberitahu Jiupai bahawa ibu bapa angkatnya menyokong keputusannya untuk mencari dan kembali kepada keluarga kandungnya.

Namun begitu, dia mengatakan bahawa pada mulanya, keluarga angkatnya agak sedih kerana dia telah bersama keluarga angkatnya itu selama kira-kira 20 tahun.

Sehubungan itu, Mei berkata dia akan melakukan yang terbaik untuk menjaga kedua-dua keluarganya, lapor Mothership.

Kini, dia sedang mempelajari cara untuk menguruskan perniagaan daripada bapa kandungnya.

Dalam satu temu bual bersama Jiupai News, Mei menjelaskan bahawa dia sebenarnya seorang introvert dan tidak akan muncul di hadapan kamera sekiranya bukan untuk meningkatkan kesedaran tentang pemerdagangan kanak-kanak di China.

Pemerdagangan kanak-kanak di China telah berlaku sekian lama, pembeli lazimnya adalah keluarga yang tidak dapat melahirkan anak dan masih berharap untuk meneruskan keturunan mereka.

Pada 2021, polis China berjaya menyelesaikan 206 kes pemerdagangan kanak-kanak dan menangkap 543 suspek, menurut Xianhuan News.

Seramai 4,142 kanak-kanak yang diculik sebelum ini dapat bertemu semula dengan ibu bapa kandung mereka, seorang daripada mereka telah berpisah selama 61 tahun.

Sumber: Siakap Keli

Share.

Leave A Reply