POLIS kini sedang mengesan dua suspek yang terlibat dalam satu kes mencuri kenderaan jenis Volkswagen MK6 Golf GTi merah milik seorang pengusaha bengkel di Taman Mutiara Subang, Shah Alam, Selangor pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Shafa’ton Abu Bakar Berkata, dalam kejadian pukul 5 petang Jumaat itu, mangsa meletakkan kenderaan di hadapan bengkel miliknya di alamat No.37 Jalan Utarid u5/3 Taman Mutiara, Subang 40150, Shah Alam, Selangor dalam keadaan berkunci.

Katanya, lebih kurang pada pukul 5.15 petang, mangsa terdengar enjin kereta miliknya dihidupkan dan terus bergerak laju.

“Mangsa kemudiannya terus mengejar suspek dengan menaiki motosikal,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah Shafa’ton lagi, ketika berada di kawasan stesen minyak, mangsa mendapati kenderaan miliknya terhenti dalam kesesakan lalu lintas.

“Mangsa sekali lagi mengejar suspek dan sempat memecahkan cermin hadapan tetapi suspek terus memecut kereta tersebut untuk melarikan diri menghala ke Lebuhraya Damansara-Shah Alam.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Majoriti (@majoritiofficial)

“Suspek turut melanggar beberapa kenderaan lain pada waktu kejadian,” katanya.

Jelasnya, setakat ini polis sudah merakam percakapan saksi yang terlibat dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, dilaporkan seorang pemilik bengkel kereta hanya mampu berputih mata apabila kereta jenis Volkswagen MK6 Golf GTi miliknya dilarikan penyamun di depan kedai miliknya

Melalui video tular yang dimuat naik di Tiktok joe_salleh, terlebih dulu memaparkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi milik suspek menghampiri kereta mangsa berwarna merah yang diparkir di kawasan letak kereta di depan sebuah premis kedai.

Sumber: Majoriti

 

Baca Juga: Lelaki Curi Bas Sekolah Bagi Alasan Mahu Pulang Ke Kapar

MELAKA – Suspek yang cuba melarikan sebuah bas sekolah dalam kejadian di Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ) berhampiran Taman Malinja di sini petang semalam direman tiga hari bermula hari ini.

Perintah reman sehingga 2 Februari itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Melaka, Mazana Sinin bagi membantu siasatan pihak polis mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan.

Terdahulu, suspek berusia 27 tahun berjaya dicekup oleh orang awam sebelum ditangkap semula oleh pasukan polis pada pukul 6.26 petang semalam

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek merupakan seorang penganggur dan berasal dari Kapar, Selangor.

Katanya, hasil soal siasat, suspek yang masih bujang mendakwa dia bertindak melarikan bas sekolah tersebut kerana ingin pulang ke Kapar.

“Hasil semakan lanjut suspek mempunyai rekod jenayah cuba melarikan kereta pada tahun 2013 dan disiasat mengikut Seksyen 379A serta Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

“Hasil soal siasat suspek memberitahu dia melarikan bas sekolah terbabit kerana ingin pulang ke Kapar,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Semalam dilaporkan trafik di Lebuh AMJ berhampiran Taman Malinja bertukar kecoh apabila seorang lelaki cuba melarikan sebuah bas sekolah sebelum terbabas masuk ke dalam longkang.

Menurut ahli keluarga pemilik syarikat bas berkenaan, Zaidi Basri, 42, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh bapa saudaranya yang melihat kenderaan tersebut dilarikan suspek dari tempat parkir di sebuah stesen minyak kira-kira pukul 5.30 petang.

Pengadu kemudian telah mengekori bas tersebut sebelum melihat ia terbabas ke longkang di bahu kiri jalan dan suspek berjaya dicekup dengan bantuan orang ramai sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply