Kira-kira 39 keluarga hilang tempat berteduh apabila satu blok Rumah Panjang Bujang di Rantau Kiran, di sini, musnah dalam kebakaran, awal pagi hari ini.
Jurucakap Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan pada 6.48 pagi sebelum sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela Nanga Mendamit bergegas ke lokasi.
“Sebaik sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati api sedang marak memusnahkan 80 peratus daripada keseluruhan rumah panjang dua tingkat itu.
“Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan air dari jentera bomba berikutan berdepan kesukaran kerana kawasan berkenaan tidak mempunyai pili bomba.
“Kebakaran yang berlaku tidak mendatangkan kecederaan atau kemalangan jiwa kerana kesemua penghuninya berjaya lari menyelamatkan diri,” katanya.
Katanya, setakat ini punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Sumber : HM
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Rumah Musnah Terbakar Ketika Sambut Raya Cina
Kegembiraan dua keluarga merayakan sambutan Tahun Baru Cina bertukar kesedihan selepas rumah berkembar dua tingkat yang didiami mereka di Jalan Yun Chai Lok musnah dalam kebakaran yang berlaku awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak dalam kenyataannya hari ini berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dan dibantu BBP Sibu Sentral bergerak ke lokasi kejadian selepas menerima makluman berhubung kebakaran pada jam 8.18 pagi
Menurutnya, sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati api sedang marak memusnahkan rumah yang pertama dan sudah merebak ke rumah yang kedua.
Katanya, selepas bertungkus-lumus memadam kebakaran, api berjaya dikawal dalam masa satu jam setengah iaitu pada jam 9.36 pagi yang kemudiannya diteruskan dengan proses penyejukan bagi mengelakkan berlakunya kebakaran berulang.
“Operasi memadam kebakaran ini agak sukar kerana salah sebuah rumah dipenuhi dengan lapisan beg plastik di bahagian garaj kediaman yang menyukarkan api dipadam pada bagaimanapun bawah,” ujarnya.
Selepas menjalankan kerja-kerja ‘overhaul’, maka operasi memadam kebakaran ditamatkan pada jam 3.56 petang.
Turut musnah dalam kebakaran ialah kereta yang diletakkan pada tempat parkir kenderaan.
Namun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa kerana kesemua penghuninya berjaya lari menyelamatkan diri.
Punca kebakaran masih dalam siasatan.
Sumber : KMN