Seorang wanita melarikan diri dari rumah dipercayai selepas berselisih faham dengan kakak tirinya yang menegur sikapnya sukar bangun pagi.

Ruslimah Baba, 39, berkata, adik tirinya, Siti Aisya Baun, 20, disedari hilang kira-kira jam 11 pagi kelmarin apabila dia tiada di rumah mereka di Jalan Genting Klang, di sini.

Katanya, sebelum itu, dia sempat mengejutkan adiknya itu bangun solat Subuh kira-kira jam 5 pagi kelmarin.

“Selepas menunaikan solat, saya sambung tidur semula. Apabila bangun kira-kira jam 11 pagi, saya mendapati dia tiada di dalam biliknya.

“Ketika itu, saya ingatkan dia hanya keluar sebentar, namun sehingga tengah malam, dia masih belum pulang. Saya juga ada menghubungi rakannya, namun mereka memaklumkan bahawa dia tiada bersama mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ruslimah berkata, dia ada melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pos pengawal kawasan kediaman mereka dan mendapati Siti Aisya keluar rumah dengan membawa tiga beg dipercayai mengandungi pakaian.

“Saya mendapati ada beberapa pakaian miliknya tiada di dalam almari. Mungkin dia bawa pakaian itu di dalam beg berkenaan.

“Berdasarkan rakaman CCTV itu, dia dilihat memakai baju T, tudung serta seluar berwarna hitam,” katanya.

Menurutnya, Siti Aisya tinggal bersamanya di rumah itu sejak Mac 2020 sebaik dia menamatkan pelajaran di sekolah di kampung mereka di Slim River, Perak.

“Kami hanya tinggal dua beradik saja memandangkan ibu bapa kami sudah meninggal. Sebelum ini, saya kerap menegurnya yang sukar bangun pagi.

“Saya rasa mungkin sebab itu dia merajuk dan keluar rumah,” katanya yang memaklumkan adiknya itu tidak mempunyai telefon bimbit kerana rosak sejak sebulan lalu.

Dia berharap supaya Siti Aisya pulang semula ke rumah kerana dia amat bimbang dengan keselamatannya.

“Adik tidak ramai kawan. Saya bimbang hala tuju dan makan minumnya selain sekiranya berlaku perkara tidak diingini.

“Justeru, saya merayu supaya dia pulang dan saya bersedia memaafkannya atas salah faham yang berlaku kerana isu itu bukan perkara besar,” katanya yang membuat laporan mengenai perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, semalam.

Sumber : Harian Metro

Share.

Leave A Reply