Wanita Hilang Dalam Banjir Kilat | Seorang wanita hilang, manakala suami dan cucunya berjaya menyelamatkan diri apabila pondok didiami di kebunnya yang terletak di tebing Sungai Baleh, Long Singut di pedalaman Bahagian Kapit dihanyutkan banjir kilat, awal pagi semalam.
Mangsa, Kau Lencau, 57, dikatakan bermalam bersama suami dan seorang cucu mereka di pondok di rumah panjang Long Singut itu, ketika kejadian kira-kira jam 4 pagi itu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menyatakan bahawa pihaknya hanya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit pada jam 10 pagi tadi.
Sehubungan itu, beliau juga berkata, sepasukan tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit bersama empat anggota polis serta empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bergerak ke lokasi bagi melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Lokasi kejadian terlalu jauh di pedalaman dan mereka perlu melalui perjalanan dengan pikap selama tiga jam sebelum meneruskan perjalanan menggunakan perahu penduduk kampung selama enam jam lagi untuk sampai ke Long Singut.
Beliau juga menyatakan dalam kenyataan hari ini bahawa lokasi kejadian itu juga tidak mempunyai sebarang isyarat telekomunikasi.
Katanya, berdasarkan maklumat awal yang diterima, pondok tempat mangsa bermalam itu hanyut selepas dilanda arus deras ketika banjir kilat berlaku.
Beliau juga berkata, maklumat lanjut berhubung kejadian itu masih belum diperoleh berikutan masalah telekomunikasi.
Sumber: Berita Harian