Bila tamat musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai yang berlumba-lumba untuk pergi bercuti bersama keluarga dan sahabat tersayang.
Namun perlulah kita sentiasa ingat, apabila kita melawat ke negeri orang, kita perlulah menjaga adab dan perkataan dan tidak ‘bercakap besar’. Kita tidak ingin perkara yang tidak diingini untuk berlaku.
Itulah yang terjadi kepada seorang pemuda apabila dengan beraninya dia berenang di Tasik Dayang Bunting, Langkawi tanpa memakai jaket keselamatan.
Isterinya dikenali sebagai @taca_fitri yang memuat naik video berkenaan di media sosial berkata, suaminya ketika itu ‘cakap besar’ dan tidak mahu memakai jaket keselamatan kerana dikatakan pandai berenang.
“Bukan main-main, tapi betul-betul. Hampir lemas di Tasik Dayang Bunting.
“Rasa berat seakan ditarik, kaki tidak kejang pun masa ini dan dia memang pandai berenang,” tulis @taca_fitri dalam video berkenaan.
Walau bagaimanapun, suaminya berada dalam keadaan selamat dan menjadikannya sebagai pengajaran untuk tidak bertindak sewenang-wenangnya di tempat orang asing.
Setelah menjengah di ruangan komen, didapati ramai orang berkongsi pengalaman yang sama berlaku kepada mereka. Sesetengah daripada mereka terasa seperti seakan-akan ‘ditarik’ ketika berenang di tasik itu.
“Pernah kena nak tunjuk hero, nak naik balik memang susah. Berat rasa,” kata @ekmalblbc.
Ada juga yang berkata, situasi itu disebabkan oleh hukum sains kerana daya apungan di tasik lebih kurang berbanding di laut.
“Graviti air tasik ini memang kuat menarik ke bawah, sebab itu perlu pakai jaket keselamatan,” kata @abgyen729.
Sehingga hari ini, video yang dikongsi itu mendapat 652,800 penonton, 28,000 tanda suka dan 301 perkongsian.
Terdahulu, pada tahun 2019, seorang warga Sudan ditemukan lemas di tasik itu selepas mandi tanpa memakai jaket keselamatan.
Mangsa yang dikatakan datang ke Malaysia untuk berbulan madu bersama isterinya, tidak timbul selepas menyelam di tasik tersebut.
Sumber: Kosmo