Wanita Mengaku Bersalah Kurung Kakak OKU Dalam Sangkar, Rumah Penuh Najis & Ular | Seorang wanita di Pennsylvania dihukum penjara sekitar dua tahun selepas mengaku bersalah mengurung dan mengabaikan kakaknya yang berkeperluan khas, lapor Daily Mail.
Menurut portal itu, wanita tersebut dipercayai telah mengurung kakaknya di dalam kandang kayu buatan sendiri di rumah mereka.
Tertuduh, 52, dikatakan telah mengurung mangsa, 54 selain membiarkannya dengan tilam kotor di rumah mereka yang mana ia turut dipenuhi najis, serangga dan ular.
Peguam Pennsylvania, Josh Shapiro menyifatkan rumah itu tidak sesuai untuk diduduki dengan ketiadaan tandas atau bekalan air, katanya seperti ditulis Daily Mail.
“Apa yang tertuduh lakukan kepada kakaknya tidak dapat dimaafkan. Namun rayuan hari ini adalah langkah mendapatkan keadilan,” ujarnya.
Mangsa yang dipercayai mempunyai kemampuan mental seperti anak kecil telah dipindahkan dari rumah tersebut dan dibawa ke hospital pada awal tahun lalu.
Dia kemudiannya dirawat untuk masalah jangkitan salur kencing dan Rhabdomyolysis, satu penyakit yang menyebabkan tisu otot rosak dan boleh meragut nyawa.
Tambah portal itu, kehidupan wanita malang itu terbongkar apabila agen Khidmat Perlindungan Orang Dewasa di sana telah mengunjungi rumah dihuni dua beradik berkenaan pada Ogos 2019 di mana mangsa didapati berada dalam keadaan melutut dalam kurungan tersebut.
Tertuduh mendakwa berbuat demikian bagi melindungi kakaknya daripada terjatuh dan cedera.
Pun begitu, apabila agen tersebut kembali dengan membawa doktor tiga bulan kemudian, mereka mendapati wanita itu tidak lagi boleh berdiri atau berjalan, lapor portal berkenaan.
Hasil pemeriksaan, pihak polis dilaporkan telah menemui botol kanak-kanak yang mengandungi susu dalam sangkar tersebut.
Tambah Daily Mail, ahli keluarga yang lain mendakwa keadaan menjadi lebih buruk apabila ibu kedua-dua wanita tersebut meninggal dunia pada 2018 lalu.
Sumber : Daily Mail