KUALA PILAH – Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang sejak 19 Januari lalu ketika menunggu nombor giliran mengambil ubat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini ditemui selamat di Kuala Lumpur.
Ibunya, Azizah Husin, 56, berkata, dia mengetahui penemuan anak tunggalnya itu, Rabaah Laily, 33 yang merupakan OKU pekak dan bisu pada Rabu minggu lalu (15 Februari) selepas keadaan kesihatan anaknya itu stabil.
Menurutnya, Rabaah dijumpai oleh orang ramai pada 31 Januari lepas selepas didapati merayau-rayau tanpa hala-tuju di ibu negara sebelum diserahkan kepada pihak polis.
“Dia kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut dan disebabkan keadaan kesihatannya ketika itu tidak stabil kerana sudah lama tidak makan ubat, menyukarkan pihak berkenaan mendapatkan maklumat peribadi daripadanya,” katanya hari ini.
Ujar Azizah, anaknya itu menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan kolestrol selain merupakan pesakit psikiatri.
“Apabila kesihatannya semakin baik selepas hampir dua minggu menerima rawatan di hospital itu, dia dah boleh tulis nama sendiri semula membolehkan pihak berkuasa membuat semakan maklumat peribadi seterusnya berjaya menghubungi saya,” ujarnya.
Azizah melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang turut membantunya mengesan anaknya itu dalam pelbagai platform sejak dilaporkan hilang.
Media sebelum ini melaporkan, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superitendan Amran Mohd Ghani mengesahkan menerima laporan daripada wanita berkenaan berhubung kehilangan anak gadisnya itu pada 20 Januari lepas.
Sumber: Harian Metro
Baca Juga: Ayah Hilang Semasa Umrah Di Makkah Hampir Sebulan
“Kami sekeluarga sangat berharap ayah segera ditemui dan sentiasa dalam keadaan selamat. Kami sangat bimbangkan keadaanya di sana,” kata Muhammad Nabel Musthafa Kamal.
Muhammad Nabel, 26, adalah anak kepada jemaah umrah, Musthafa Kamal Abdullah, 49, yang dilaporkan hilang di Makkah hampir sebulan lalu.
Katanya, bapa pergi ke Tanah Suci bersama adiknya, Muaz, 17, pada 6 Disember lalu dan dijangka pulang ke tanah air pada 18 Disember.
Bagaimanapun katanya, bapanya dilaporkan hilang pada 12 Disember selepas adiknya menyedari bapa mereka tiada di bilik hotel di Makkah.
“Mereka juga sudah memakai ihram dan ayah minta adik pergi dulu dengan mutawif kerana dia mahu berehat dan cakap dia akan tawaf nanti… kebetulan ketika itu ayah kurang sihat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, ketika pulang ke bilik hotel, adiknya mendapati bapa mereka tiada di bilik, malah beg silangnya juga tiada pada 12.30 tengah malam.
Katanya, pada mulanya adiknya tidak terlalu risau bapanya keluar seorang diri kerana beliau boleh berbahasa Arab tetapi selepas bapa masih belum pulang hingga Subuh dan gambarnya juga tersebar di WhatsApp, mereka mengesyaki bapa dihantar ke hospital.
“Kami percaya mungkin ayah keluar seorang diri mahu pergi tawaf. Pada 13 Disember ada individu berkongsi gambar ayah memakai ihram tanpa beg dalam ambulans di kumpulan WhatsApp.
“Mutawif kemudiannya ke hospital mencari ayah tetapi ayah tiada dan diberitahu sudah keluar dari hospital serta dihantar pulang ke hotel,” katanya sambil memberitahu bapanya tiada penyakit.
Menurut Muhammad Nabel, pemeriksaan di hotel mendapati bapanya yang tinggal di Sri Gading, Batu Pahat dan guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Raja, Johor masih tiada di premis berkenaan.
Katanya, pada hari ketiga kehilangan bapanya ada orang awam menghantar beg silang bapanya itu di kaunter hotel.
“Kami binggung memikirkan di mana ayah berada dan sehingga kini ayah masih belum ditemui… sudah hampir sebulan dan adik pulang seorang diri bersama jemaah lain tanpa ayah.
Sumber: KMN