Wanita Rugi RM10,500 Akibat Terpedaya Beli Emas Dalam Talian | Penipuan dalam talian (online scam) bukan perkara baharu. Ia telah berlaku di seluruh dunia sejak lama dahulu. Isu scammer atau penipu siber menjadi bualan hangat di kalangan netizen sejak kebelakangan ini. Banyak penipuan dalam talian dilapor seperti Macau Scam, penipuan pinjaman dan pelaburan, Love Scam dan juga kegiatan keldai akaun.
Melaka: Seorang peniaga wanita mengalami kerugian lebih RM10,500 selepas terpedaya dalam urusan pembelian emas dalam talian, pada Isnin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka, Superintendan E Sundra Rajan, berkata mangsa berusia 42 tahun yang juga peniaga dalam talian pada awalnya hanya tertarik untuk membeli seutas rantai leher beharga RM1,800. Katanya, mangsa dan suspek berhubung melalui aplikasi Whatsapp selepas wanita terbabit melihat tawaran iklan di Instagram pada Ahad.
Beliau mengulas lanjut, sehari selepas melihat tawaran iklan itu mangsa kemudian bersetuju membeli rantai leher dan membuat pembayaran berjumlah RM1,850 ke akaun suspek termasuk kos penghantaran.
“Bagaimanapun selepas pembayaran, suspek menawarkan diskaun 10 peratus jika mangsa membuat pembelian emas melebihi RM5,000,” katanya.
Menurut beliau, tertarik dengan diskaun ditawarkan itu mangsa kemudian menambah pembelian dengan membeli tiga utas rantai leher dan tiga utas gelang tangan.
“Kesemua barangan kemas itu beharga RM11,150 dan kononnya selepas ditolak diskaun sebanyak 10 peratus mangsa hanya diminta membayar RM8,800.
“Namun selepas pembayaran yang kesemuanya berjumlah RM10,650 dibuat pada Isnin sehingga ke hari ini mangsa masih belum menerima barangan kemas dibeli walaupun suspek berjanji akan mengirimnya,” katanya.
Mengulas lanjut, Sundra Rajan berkata, mangsa cuba menghubungi suspek namun gagal sebelum dia tampil membuat laporan di Balai Polis Jasin, semalam.
“Hasil semakan dilakukan pihak polis menerusi ‘Check Scammers CCID’ mendapati akaun bank digunakan suspek terbabit dengan dua laporan polis.
“Manakala nombor telefon digunakan suspek pula bersangkut dengan 23 laporan polis,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan selain pihaknya mengingatkan masyarakat supaya lebih berhati-hati dengan pembelian barangan dalam talian.
“Jika berminat ingin membeli barangan yang ditawarkan mereka terlebih dahulu diminta untuk membuat semakan ke atas nombor akaun dan telefon meragukan menerusi aplikasi ‘CHECK SCAMMERS CCID’,” katanya.
Sumber: Berita Harian