Wanita Warga Emas Ditemui Mati Dalam Keadaan Ngeri Di Rumah | Polis telah menemui mayat seorang wanita warga emas di Desa Penarukan, Jalan Pulau Natuna, di sini, baru-baru ini sekitar jam 2 petang waktu tempatan.
Mayat mangsa dikatakan telah ditemui oleh dua orang anak saudaranya setelah dia dilaporkan tidak dapat dihubungi sejak dua hari lalu sebelum mereka mengambil keputusan untuk pergi ke rumah mangsa bagi melihat keadaannya di rumah.
Sejurus tiba di lokasi kejadian, kedua-dua anak saudara mangsa yang juga merupakan saksi kejadian telah mengetuk pintu rumah mangsa namun tiada respond diberikan sebelum mereka bertindak memecahkan pintu sisi rumah mangsa bagi melihat apa sebenar yang berlaku di rumah tersebut.
Setelah pintu tersebut berjaya dipecahkan, saksi menemui mayat warga emas berusia 66 tahun tersebut dalam keadaan ngeri selepas mangsa dilihat terbaring secara terbalik, mulutnya disumbat kain, kesan darah yang keluar dari telinga serta kakinya dalam keadaan bengkok di pintu masuk bilik tidurnya.
Menurut laporan dari Ketua Perhubungan Awam Polis Buleleng, Iptu Gede Sumarjaya yang dipetik dari Balipuspa News, mangsa disyaki telah dibunuh namun siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kematian wanita warga emas tersebut.
Beliau juga mengesahkan bahawa pasukan Inafis Polis Buleleng bersama anggota Unit Siasatan Jenayah Polis Singaraja akan bekerjasama dalam membuat siasatan terhadap kes tersebut yang turut diketuai secara langsung oleh Ketua Polis Singaraja dari Unit Siasatan Jenayah Polis Singaraja.
Mayat kini telah dibawa ke Hospital Daerah Buleleng untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian warga emas tersebut.
Sumber: Balipuspa News