Warga Emas Cedera Digigit Buaya Ketika Ambil Wuduk | Seorang warga emas berdepan detik cemas apabila tangan kanannya digigit seekor buaya di sebuah kawasan paya berhampiran Padang Papan di Manir, petang Jumaat lepas.

Che Man Zakaria, 61, yang bekerja sebagai penangkap ikan darat berkata, kejadian pada jam 7.25 petang itu berlaku ketika beliau sedang mengambil wuduk menggunakan air paya untuk menunaikan solat Maghrib.

Dia baru sahaja selesai menangkap ikan darat di paya itu dan ingin solat Maghrib terlebih dahulu sebelum pulang ke rumah. Ketika mengambil wuduk dalam keadaan mencangkung, tiba-tiba muncul seekor buaya sepanjang kira-kira dua meter menyambar tangan kanannya.

Katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Kebor Besar di Manir, kejadian itu menyebabkannya terjatuh ke dalam paya. Kawan-kawannya yang tidak sedar kejadian itu, bertanya kenapa dia terjun, dia cakap bukannya terjun tetapi ada buaya sambar tangan.

Katanya, setelah menggigit tangannya, reptilia itu terus menghilangkan diri di dalam paya dan tidak lagi timbul walaupun dia dan rakan-rakan cuba mencari haiwan itu.

Che Man berkata, dalam keadaan berlumuran darah, beliau menggagahkan diri menunggang motosikal pulang ke rumahnya yang terletak kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian untuk mendapatkan bantuan ahli keluarga.

Kejadian itu menyebabkan beliau terpaksa dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini dan menerima 12 jahitan di tangan kanan.

Bapa kepada 10 anak itu memberitahu sebelum ini beliau pernah tersempak dengan buaya di kawasan paya berkenaan, namun kejadian pada petang Jumaat itu adalah kali pertama haiwan itu menyambarnya.

Katanya yang telah 15 tahun menangkap ikan darat sebagai sumber rezeki untuk menyara kelurga bahawa dia percaya ada lagi dua atau tiga ekor buaya di kawasan paya itu. Mungkin reptilia itu terlepas masuk dari Sungai Nerus akibat banjir Disember lepas.

Sumber: Sinar Harian

 

Artikel Lain

Lelaki Parah Ketika Kutip Telur Buaya

Lelaki Parah Ketika Kutip Telur Buaya | Seorang lelaki kritikal selepas diserang seekor buaya ketika mengutip telur reptilia itu di kawasan paling terpencil di wilayah utara, Australia.

Ketika kejadian, lelaki itu sedang mengutip telur buaya di sepanjang Sungai Daly sebelum diserang reptilia itu.

Buaya itu membaham kaki lelaki berusia 29 tahun itu menyebabkan mangsa parah, namun dia berjaya melepaskan diri daripada rahang reptilia itu.

Mangsa, dikejarkan ke Hospital Royal Darwin menggunakan helikopter persendirian.

Jurucakap pihak Kesihatan Wilayah Utara berkata, keadaan lelaki yang sedang menjalani pembedahan kecemasan itu semakin merosot dan kritikal.

Lelaki itu kritikal namun stabil DAN kemudiannya dipindahkan ke Hospital Royal North Shore, Sydney.
Pengumpulan telur buaya disahkan kerajaan pada 2018, tetapi tertakluk kepada peraturan ketat.

Mereka yang mempunyai lesen boleh mengutip telur yang membawa pulangan lumayan.

Sebiji telur buaya dijual pada harga kira-kira AS$30 (RM127.97), manakala 60 biji telur dengan sarangnya boleh mencecah sehingga AS$1,800 (RM7,678.44).

Sebahagian daripada telur itu dipindahkan ke ladang buaya sebelum ia menetas dan dibesarkan.

Reptilia itu kemudian dibunuh untuk kulitnya bagi kegunaan membuat produk mewah seperti beg tangan.

Kira-kira 1,000 orang terbunuh setiap tahun akibat diserang buaya, berbanding kematian akibat serangan jerung iaitu hanya kurang daripada 500 orang sejak 1950.

Sumber: Harian MetroHarian Metro

 

‘Viral’ Buaya Tolak Mangsa Ke Tebing Sungai

Viral’ Buaya Tolak Mangsa Ke Tebing Sungai | Seekor buaya di Sungai Mahakam, Kutai Kartanegara, Kalimantan Timur, dilaporkan membawa mayat seorang kanak-kanak lelaki yang lemas ke tebing sungai, pada Jumaat.

Kisah buaya itu mendapat perhatian ramai apabila tular di media sosial.

Muhammad Ziyad Wijaya, 4, dilaporkan hilang selama dua hari sebelum mayatnya ditemukan.

Pejabat Pencarian dan Bantuan Kalimantan Timur yang menerima laporan kehilangan Muhammad Ziyad menggerakkan pasukan untuk mencari mangsa, tetapi usaha itu tidak berjaya.

Pihak berkenaan kemudian dilaporkan tidak menolak kemungkinan Muhammad Ziyad sudah meninggal dunia akibat lemas.

Selepas dua hari diisytiharkan hilang, mayat Ziyad dilaporkan ditemukan seekor buaya.

Haiwan berkenaan dikatakan menarik mayat Ziyad dari tengah ke tebing sungai dengan menarik belakang mangsa menggunakan mulutnya sambil disaksikan secara langsung oleh keluarga mangsa.

Apabila keluarga mangsa menghampiri, buaya itu berenang semula ke dalam sungai.

Pihak keselamatan di lokasi adalah orang pertama yang menyaksikan kejadian itu dan pemeriksaan mendapati tiada bahagian badan mangsa yang koyak disebabkan buaya itu.

Katanya, haiwan terbabit membantu mencari mangsa dan mayat budak itu ditemukan di Perairan Muara Jawa, Kabupaten Kutai Timur, kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kejadian.

Mangsa kemudian dihantar ke bilik mayat untuk tindakan lanjut.

Sumber: Harian Metro

Share.

Leave A Reply